fb fb fb fb fb

Lima anggota Balai Polis Ulu Tiram terlibat serangan dinaikkan pangkat

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 14 Jun- Dua anggota polis yang terkorban dalam kejadian di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei lepas, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said masing-masing dinaikkan pangkat Koperal secara posthumous hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiga lagi anggota balai polis sama yang terbabit dalam kejadian itu turut menerima kenaikan pangkat secara medan iaitu Koperal Mohd Hasif Roslan dinaikkan pangkat Sarjan, manakala Konstabel Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa dan Lans Koperal Muhammad Aznel Salleh masing-masing dinaikkan pangkat Koperal.

"Kita juga sempurnakan penyampaian pampasan kepada keluarga mereka yang membuat caruman insuran, sebab itu kita sampaikan sekali dalam jumlah pampasan lebih RM200,000.

"Kita mahu sampaikan mesej kepada keluarga mangsa bahawa kesedihan mereka turut dirasai keseluruhan pasukan polis," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di ibu negara.

Allahyarham Ahmad Azza Fahmi, 22, dan Allahyarham Muhamad Syafiq, 24, masing-masing turut menerima pampasan RM216,632 dan RM213,586 meliputi bantuan mengurus jenazah, syer kerajaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya.

Dalam kejadian pada pukul 2.45 pagi 17 Mei lepas, Ahmad Azza Fahmi dan Muhamad Syafiq meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang, manakala Mohd Hasif cedera ditembak.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI