
- Penduduk terkejut selepas beberapa letupan kuat sekitar pukul 9 malam; rumah bergegar dan keluarga keluar memeriksa.
- Siri serangan serentak melibatkan letupan, pembakaran tayar dan kenderaan serta serangan terhadap premis dan kemudahan awam di tiga wilayah selatan.
- Pihak berkuasa Thailand mengisytiharkan perintah berkurung di kawasan terjejas susulan serangan.
RANTAU PANJANG, 23 Ogos – Letupan bom di wilayah Narathiwat, selatan Thailand pada Sabtu malam menggegarkan kediaman dan mengejutkan penduduk di Kampung Tersang di sini.
Seorang penduduk, Khairul Anuar Mohd berkata, letupan kuat itu kedengaran kira-kira 9 malam ketika dia bersama keluarganya sedang bersiap untuk tidur.
“Semalam baru nak tidur dalam lepas Isyak, kira-kira pukul 9 malam. Masa nak tidur tu, ada bunyi macam kuat, macam bunyi bom.
“Bunyi tiga kali, kuat dan menyebabkan rumah bergegar. Selepas itu, kami terus keluar nak tengok apa yang berlaku. Mungkin bom agaknya,” ujar Khairul Anuar.
“Semalam duduk berehat dalam pukul 9 lebih, bunyi bom dalam dua tiga das juga. Bunyi tu kuat macam datang dari arah Siam. Jadi kami keluar mengintai. Mungkin kita ingat ada berlaku apa-apa,” cerita Muhammad Alif Danial Fauzi yang juga penduduk.
Sementara itu, Mohd Ridwan Faizal Che Radiun berkata, ketika kejadian dia bersama keluarga sedang berehat di dalam rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan yang sangat kuat.
“Semalam, dalam anggaran pukul 9 malam selepas Isyak, kami duduk di dalam rumah. Tiba-tiba kedengaran letupan yang sangat kuat. Jarak dari sini ke lokasi kejadian dianggarkan sekitar 500 meter sahaja, memang dekat dengan rumah.
“Rumah turut bergegar dan kami semua keluar. Memang takutlah, ingatkan berlaku apa-apa. Rasa risau juga kalau sesuatu yang tidak diingini berlaku berdekatan rumah. Memang terkejutlah,” jelasnya.
Media melaporkan, tiga wilayah di selatan Thailand iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala digegarkan siri letupan bom dan serangan serentak di lebih 51 lokasi, bermula kira-kira 8.15 malam.
Kejadian dilaporkan membabitkan pelbagai bentuk gangguan termasuk letupan, pembakaran tayar dan kenderaan, selain serangan terhadap kemudahan awam serta premis perniagaan.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa Thailand turut mengeluarkan arahan perintah berkurung di kawasan yang terjejas.