Puitika Pujangga MADANI usaha angkat seni bahasa, kesusasteraan ke pentas kreatif

Program mendapat sokongan MOTAC menerusi Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK)

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan terus menyokong penganjuran program-program yang memperkasa kesusasteraan serta seni bahasa kebangsaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Puitika Pujangga Madani menggabungkan puisi, monolog, syair, gurindam, lagu puisi dan elemen teaterikal dalam satu persembahan inovatif.
  • Kerjasama kerajaan, sektor swasta dan NGO memperkukuh sokongan terhadap seni, budaya dan jalinan sosio budaya masyarakat.
  • Program tandakan ulang tahun ke-10, disokong GSSK, IPG dan Muzium Kesenian Islam Malaysia serta menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Datuk Yusri Mohd Yusoff mengakui penganjuran seperti Program Puitika Pujangga Madani yang menggabungkan puisi, monolog, syair, gurindam, lagu puisi dan elemen teaterikal dalam satu persembahan akan terus mengangkat seni, budaya dan warisan selain menjambatani hubungan sosio budaya.

“Kerjasama antara kerajaan, sektor swasta serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) membuktikan warisan seni dan budaya disokong secara bersama.

“Pendekatan itu selari dengan peranan MOTAC untuk memastikan dasar berkaitan seni dan budaya dapat diterjemahkan menerusi program yang memberi manfaat kepada masyarakat,”katanya selepas menyaksikan persembahan Puitika Pujangga Madani di Auditorium Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Program berlangsung hari ini menampilkan barisan sasterawan dan seniman negara, antaranya Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan, Datuk Dr. Lim Swee Tin, Datuk Francissca Peter, AGI, Umair Uzair, Lin Hazlinza, Shirley Idris dan Arja Lee.

Persembahan kali ini juga tampil dengan pendekatan berbeza dengan deklamasi puisi diterjemahkan menerusi pelbagai bentuk persembahan.

Kelainan turut diserlahkan menerusi paduan suara Francissca Peter bersama Umair Uzair sebelum penyanyi legenda itu meneruskan persembahan solo menerusi lagu malar segar.

Datuk Dr Lim Swee Tin pula menutup persembahan menerusi penyampaian menorah dan seni tarian Kelantan.

Puitika Pujangga Madani dianjurkan sempena ulang tahun ke-10 penganjurannya, selain menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026.

Program yang mendapat sokongan MOTAC menerusi Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) dengan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik dan Muzium Kesenian Islam Malaysia sebagai rakan strategik serta lokasi rasmi.

Gagasan Puitika mula diusahakan pada 2017 dan telah dipentaskan di beberapa lokasi ikonik seluruh negara termasuk Istana Budaya, Pusat Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC), Muzium Negeri Terengganu, Menara Alor Setar, Tapak Arkeologi Sungai Batu, Panggung Seni Kota Mahsuri dan Pantai Bisikan Bayu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.