fb fb fb fb fb

Lelaki cedera, kereta terbakar & meletup ketika isi minyak

Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat

KANGAR, 17 Mei- Seorang lelaki cedera setelah keretanya terbakar dan meletup ketika sedang mengisi minyak.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.00 petang tadi di sebuah stesen minyak di Repoh.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri (JBPM), Penguasa Kanan Bomba I Mohd Zaidi Ma'at dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian kira-kira pukul 4.04 petang.

Kebakaran dan letupan berkenaan menyebabkan sebuah kereta musnah hampir 50 peratus serta kerosakan bahagian bumbung stesen minyak terbabit.

"Sebuah jentera pemadaman kebakaran berserta sebuah kenderaan utiliti bersama 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kangar diketuai Pegawai Bomba Kanan 1, Safry Romly digerakkan ke lokasi kebakaran", katanya.

Orang awam yang berada di lokasi bertindak menggunakan alat pemadam api bagi mengawal kebakaran tersebut, sebelum pihak bomba sampai dilokasi.

Mangsa yang cedera di tangan kiri akibat terkena serpihan cermin kereta telah menerima rawatan dari pasukan perubatan Hospital Tuanku Fauziah.

Pasukan forensik akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta nilai kerugian.

ROSLINA BINTI DIN