Legasi empat tokoh jadi amanah generasi kehakiman – Ketua Hakim Negara

Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh bergambar bersama-sama keluarga Allahyarham Tun Eusoff Chin./ BERNAMA

PUTRAJAYA, 15 September – Legasi empat tokoh kehakiman negara terus menjadi panduan kepada institusi kehakiman dalam memperkukuh disiplin, kepercayaan, prinsip serta keterangkuman demi generasi akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kewibawaan mahkamah dibentuk oleh karakter dan tindakan mereka yang diberi amanah.
  • Tun Eusoff Chin menekankan disiplin kehakiman dan kepentingan mahkamah bersidang mengikut masa.
  • Tun Mohamed Dzaiddin berusaha memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap institusi kehakiman.
  • Tun Abdul Hamid menekankan batas kuasa hakim manakala Tan Sri Siti Norma membuka laluan perintis wanita dalam kehakiman.

Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, kekuatan sesebuah institusi tidak hanya bergantung kepada kewujudan mahkamah atau hakim, sebaliknya karakter dan tindakan mereka yang diberi amanah untuk mengendalikannya.

“Sesebuah institusi memperoleh kewibawaannya hanya melalui karakter dan tindakan mereka yang diberi amanah untuk mengendalikannya.

“Dalam hal ini, saya ingin memetik esei Francis Bacon, Of Judicature, yang menyatakan tugas hakim berkaitan dengan empat pihak, iaitu pihak yang berlitigasi, peguam yang berhujah, pegawai serta petugas keadilan di bawah mereka, dan pemerintah atau negara di atas mereka,” katanya.

Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh./ RTM

Beliau berkata demikian pada Majlis Memperingati Mantan-Mantan Ketua Hakim Negara dan Mantan Hakim Besar Malaya di Mahkamah Persekutuan 1, Istana Kehakiman, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut, mantan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.

Tambah beliau lagi, kedudukan institusi kehakiman perlu diterjemahkan menerusi cara tanggungjawab dilaksanakan, termasuk memastikan setiap keputusan dan tindakan mencerminkan nilai serta kewibawaan institusi.

Katanya, prinsip berkenaan turut terserlah melalui legasi empat tokoh yang pernah menerajui badan kehakiman negara dan masing-masing meninggalkan sumbangan tersendiri sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Majlis Memperingati Mantan-Mantan Ketua Hakim Negara dan Mantan Hakim Besar Malaya mengenang Allahyarham Tun Mohd Eusoff Chin, Allahyarham Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, Allahyarham Tun Abdul Hamid Mohamad serta Allahyarhamah Tan Sri Siti Norma Yaakob berlangsung di ibu negara./ BERNAMA

Majlis Memperingati Mantan-Mantan Ketua Hakim Negara dan Mantan Hakim Besar Malaya itu mengenang Allahyarham Tun Mohd Eusoff Chin, Allahyarham Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, Allahyarham Tun Abdul Hamid Mohamad serta Allahyarhamah Tan Sri Siti Norma Yaakob.

Mengimbas sumbangan empat tokoh itu, Tun Wan Ahmad Farid menyifatkan Tun Eusoff Chin memberikan penekanan terhadap disiplin kehakiman, khususnya memastikan mahkamah bersidang mengikut masa ditetapkan kerana masa kehakiman adalah hak pihak yang menunggu untuk mendapatkan keadilan.

Bagi Tun Dzaiddin pula, beliau berkata, Allahyarham berusaha memulihkan kepercayaan terhadap institusi kehakiman selepas mengambil alih jawatan Ketua Hakim Negara pada Disember 2000.

Allahyarham turut mencatat sejarah sebagai Ketua Hakim Negara pertama yang dilantik dalam kalangan pengamal undang-undang, selain pernah berkhidmat sebagai wartawan dan pegawai polis sebelum menceburi bidang kehakiman.

Sementara itu, Allahyarham Tun Abdul Hamid Mohamad menerajui badan kehakiman Malaysia kurang daripada setahun, namun sumbangannya berterusan menerusi 567 penghakiman, lapan buku serta lebih 500 ucapan dan kertas kerja.

Beliau turut dikenang kerana pendiriannya mengenai batas kuasa kehakiman menerusi prinsip ‘Hakim Bukan Parlimen’, yang menegaskan peranan hakim adalah mentafsir undang-undang dan bukan menggubal undang-undang.

Allahyarhamah Tan Sri Siti Norma pula mencatat pelbagai sejarah sebagai perintis wanita dalam bidang perundangan dan kehakiman, termasuk menjadi wanita pertama Malaysia dipanggil ke Gray’s Inn pada tahun 1962.

Beliau kemudiannya menjadi wanita pertama memegang jawatan eksekutif dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Presiden wanita pertama Mahkamah Sesyen, Ketua Pendaftar wanita pertama Mahkamah Persekutuan serta wanita pertama dilantik ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Tun Wan Ahmad Farid berkata, sumbangan keempat-empat tokoh itu kini menjadi amanah kepada generasi kehakiman semasa untuk memastikan nilai dan prinsip yang diwariskan terus dipelihara.

“Empat insan telah kita kenang pada hari ini. Tun Eusoff Chin memberikan disiplin kepada badan kehakiman ini. Tun Dzaiddin berusaha memulihkan kepercayaannya.

“Tun Abdul Hamid memberikan penghayatan yang berpanjangan terhadap prinsip dan batasan. Tan Sri Siti Norma pula membuka ruang untuk kita mengambil hakim daripada seluruh lapisan masyarakat. Tiada satu pun daripada empat perkara ini mencukupi dengan sendirinya,” katanya lagi.

Majlis anjuran Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia itu turut menyaksikan ucapan penghormatan daripada wakil keluarga keempat-empat tokoh, Naib Yang Dipertua Badan Peguam Malaysia, Puan Murshidah Mustafa dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.

Turut hadir, isteri kepada mantan Ketua Hakim Negara iaitu Toh Puan Rosaini Mustaffa, Isteri kepada Allahyarham Tun Mohd. Eusoff Chin dan Toh Puan Hamidah Choong Abdullah dan Isteri kepada Allahyarham Tun Abdul Hamid Mohamad.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.