
PUTRAJAYA, 15 September – Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menyasarkan untuk merealisasi pelaburan kumulatif RM470 bilion menjelang 2030.
- Sektor utama seperti elektrik & elektronik, automotif, pelancongan bernilai tinggi dan pertanian moden menyumbang bahagian besar pelaburan.
- Sasaran KDNK Wilayah Utara RM369 bilion dan mewujudkan 310,000 peluang pekerjaan berkualiti, dengan 45% pekerjaan berkemahiran tinggi.
- NTIC menyasarkan melahirkan ribuan bakat dan menggalakkan anak muda menceburi program TVET berkait langsung dengan sektor pembuatan.
- Pelan 2026-2030 menggariskan 15 strategi, 21 inisiatif termasuk pembangunan bakat, pengukuhan ekosistem industri dan peluasan ekonomi ke kawasan kurang membangun.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, 70 peratus daripadanya akan disumbang oleh sektor utama seperti elektrik & elektronik, automotif, pelancongan bernilai tinggi dan pertanian moden.
Pelaburan berkenaan turut disasarkan bagi menyokong peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Wilayah Utara kepada RM369 bilion, selain mewujudkan 310,000 peluang pekerjaan berkualiti, dengan 45 peratus daripadanya pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Di bawah NCER, kita juga mempunyai NTIC, NCER Technology Innovation Center, yang menyasarkan untuk melahirkan ribuan bakat.
“Pada masa sama, kita mahu terus menarik minat anak-anak menceburi bidang TVET yang berkait rapat dengan sektor pembuatan,” katanya selepas pelancaran Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030.
Pendapatan isi rumah median di wilayah berkenaan pula disasarkan meningkat kepada RM7,500 menjelang 2030, seiring usaha meningkatkan produktiviti dan nilai pekerjaan menerusi kemasukan pelaburan bernilai tinggi.
Pelan lima tahun itu menggariskan 15 strategi dan 21 inisiatif, termasuk pembangunan bakat tempatan, pengukuhan ekosistem industri serta peluasan aktiviti ekonomi ke kawasan yang kurang membangun.
Antara projek yang dikenal pasti bagi menyokong pertumbuhan termasuk Taman Sains dan Teknologi Kedah, Hab Logistik dan Pembuatan Termaju Sidam, Kawasan Perindustrian Lembah Chuping serta Penang Silicon Island.
NCER turut memperkukuh kerjasama dengan institusi pendidikan dan industri bagi memastikan kemahiran tenaga kerja tempatan selari dengan keperluan sektor berteknologi tinggi.