KOTA BHARU, 21 Januari- Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memperuntukkan lebih RM668 juta untuk menambah baik akses rangkaian WiFi di semua universiti awam di seluruh negara dengan projek berkenaan dijangka siap pada tahun ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pihaknya juga akan meningkatkan akses internet di luar bangunan kampus dengan memperluaskan liputan mudah alih dan menambah menara perkhidmatan telekomunikasi mudah alih.
Fahmi menjelaskan fasa pertama projek itu telah dimulakan dan dijangka selesai pada 5 Februari ini di tiga universiti utama iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
"Kami fokus kepada universiti awam yang mempunyai pelbagai kampus seperti Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang mempunyai tiga kampus. UM juga mempunyai beberapa kampus. Jadi kami akan teliti semua aspek dan telah mula fasa pertama," katanya.
Beliau turut menjelaskan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui pelan berperingkat (rolling plan) dalam Rancangan Malaysia ke-12 akan menyalurkan peruntukan untuk menggantikan atau menambah baik akses internet di kampus.
Fahmi berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian di Dewan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Pengkalan Chepa, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Dalam perkembangan lain, Fahmi memaklumkan MCMC telah memohon penurunan sebanyak 18,785 kandungan di media sosial bagi tempoh tiga minggu bermula 1 Januari hingga 21 Januari tahun ini.
Lebih 84 peratus adalah kandungan berkaitan judi dalam talian dan penipuan (scam), buli siber (lima peratus), iklan produk dan perkhidmatan yang tidak dibenarkan (lima peratus), manakala selebihnya melibatkan kesalahan lain.
Menurut beliau, kandungan dimohon untuk diturunkan itu termasuk 67 peratus di Facebook, 18 peratus di aplikasi TikTok dan 13 peratus melibatkan YouTube.
"Kita lihat judi dan scam adalah kategori terbesar. Walaupun kita sudah bekerjasama dengan baik, tetapi platform-platform masih membenarkan aktiviti jenayah ini berlaku. Jadi, selepas dilesenkan, kita akan minta supaya mereka mengenakan sekatan tertentu terhadap kandungan yang melanggar undang-undang," katanya.
Kelantan menjadi lokasi pertama bagi siri Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian yang merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi melalui MCMC untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai keselamatan dalam talian yang dimulakan dengan mahasiswa.
Ia akan diperluaskan ke seluruh negara bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat, selain penguatkuasaan pelaksanaan pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial, pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), serta perundangan baharu iaitu Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA).