KUALA LUMPUR, 21 Mac- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima sumbangan keseluruhan berjumlah lebih RM2.5 juta termasuk wang tunai dan barangan keperluan sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia mencatatkan peningkatan sebanyak 41 peratus jumlah keseluruhan sumbangan berbanding tahun sebelumnya.
"Berbekalkan sumbangan yang telah diberikan, pada tahun ini ATM telah menyediakan sebanyak 15,000 beg hari raya. Kesemua beg ini akan diagihkan kepada anggota-anggota ATM yang bertugas menjaga keamanan dan kedaulatan negara pada hari lebaran nanti.
"Ia merangkumi anggota yang bertugas di perbatasan negara sama ada di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan juga di luar negara bawah misi panji-panji Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)," katanya dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Wisma Pertahanan di ibu negara.
Mohamed Khaled turut memaklumkan pemberian sumbangan itu disertai kira-kira 93 buah syarikat, badan korporat dan individu. Sumbangan berkenaan meliputi wang tunai serta barangan keperluan.
Dalam perkembangan lain Malaysia tidak menolak kemungkinan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan bagi penduduk di Gaza melalui ruang udara.
Kerajaan sedang berbincang untuk menentukan cara alternatif yang terbaik untuk menyalurkan bantuan berkenaan.
Sebelum ini, sebanyak 480 kotak makanan hasil sumbangan rakyat Malaysia digugurkan dari udara di utara Gaza menggunakan pesawat kargo C130 milik Tentera Udara Diraja Jordan.