
SHAH ALAM, 29 Julai- Seramai 8,391 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tidak berpencen di Selangor menerima Baucar Jom Shopping bernilai RM200 seorang menerusi inisiatif khas sempena sambutan Hari Pahlawan Negara tahun ini.
- Kerajaan Selangor memperuntuk RM1.7 juta sebagai penghargaan terhadap jasa veteran tidak berpencen.
- Program julung kali diperkenalkan akan dinilai keberkesanannya sebelum dipertimbang untuk diperluas kepada lebih 22,700 veteran berpencen tahun depan.
- Pengagihan baucar dilakukan secara berperingkat mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri; fasa pertama melibatkan Kota Anggerik, Sungai Tua dan Banting.
- Bekas anggota tentera Saifuddin Harun menyatakan penghargaan dan kebanggaan atas perhatian prihatin Kerajaan Negeri terhadap veteran tidak berpencen.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pemberian baucar membabitkan peruntukan RM1.7 juta itu adalah tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap jasa dan pengorbanan veteran yang pernah mempertahankan keamanan negara.
Beliau berkata program julung kali diperkenalkan itu akan dinilai keberkesanannya sebelum dipertimbangkan untuk diperluaskan kepada lebih 22,700 veteran berpencen di Selangor tahun depan.
“Ini sebahagian daripada inisiatif yang kita umumkan ketika Belanjawan iaitu Jom Shopping sempena Hari Pahlawan khas untuk veteran tidak berpencen. Jumlahnya lebih kurang 8,300 orang secara keseluruhan dan tahun depan, kalau sambutannya baik, kita cuba lihat secara keseluruhan jumlah veteran seramai 22,700 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Bantuan Baucar Jom Shopping di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.
Datuk Seri Amirudin berkata pengagihan baucar dilakukan secara berperingkat mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan fasa pertama melibatkan Kota Anggerik, Sungai Tua dan Banting.
Sementara itu, bekas anggota tentera, Saifuddin Harun, 77, menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif berkenaan yang disifatkan sebagai bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap veteran ATM dan PDRM yang tidak berpencen.
“Baucar yang disampaikan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Menteri Besar ini menunjukkan keprihatinan terhadap bekas-bekas tentera. Pihak kami amat berbangga dan menghargai perhatian yang diberikan,” katanya.