fb fb fb fb fb

Lebih 500 jemaah haji Malaysia tiba di Mekah

Sementara itu, kumpulan kedua seramai 281 orang tiba di hotel sama pukul 10.00 malam waktu tempatan.

MEKAH, 15 Mei- Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 282 orang selamat tiba di Mekah pada pukul 5.30 petang semalam waktu tempatan.

Ketibaan mereka di Hotel Abraj Al Janadriyah yang juga merupakan Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di Mekah disambut Ketua Rombongan Haji 1445H/2024, Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman.

"Saya mengalu-alukan kedatangan semua para jemaah haji daripada Malaysia ke Mekah.

"Alhamdulillah saya diberitahu perjalanan haji dari Madinah ke Mekah ini telah berjalan dengan baik dan aktiviti-aktiviti termasuk aktiviti ibadah mereka di Madinah semuanya telah selesai," katanya pada sidang media di Hotel Abraj Al Janadriyah di sini.

Turut menyambut ketibaan mereka Timbalan Ketua Rombongan Haji Kebajikan, Mohamed Heikal Mohamed Yusuff, pihak pengurusan TH dan  pengurusan Mashariq.

Sementara itu, kumpulan kedua seramai 281 orang tiba di hotel sama pada pukul 10.00 malam waktu tempatan.

Kesemua 563 jemaah kemudian diberi taklimat ringkas oleh pihak TH sebelum bergerak menunaikan ibadah umrah secara berperingkat selepas solat isyak dan subuh.

Artikel Berkaitan:
Waspada tawaran pakej haji - TH
Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia tiba di Madinah

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM