KUALA LUMPUR, 10 Disember– Pahang kembali dilanda banjir ekoran hujan lebat berterusan sejak awal pagi semalam.
Gelombang banjir kali kedua di negeri itu menyebabkan 128 penduduk di daerah Maran dipindahkan, setakat tengah hari tadi.
Menurut portal Info Bencana JKM, kesemua 35 keluarga terjejas itu kini ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka.
Penduduk paling ramai dipindahkan ke PPS Tetap Luit dengan 52 orang dan diikuti PPS Banjir Kampung Baru Sungai Chedong, 40 orang.
Manakala, 27 orang penduduk berlindung di PPS Kampung Ulu Luit, lima orang di Surau Bukit Kuin dan empat orang di PPS Bangunan Bengkel Wanita Kampung Bak Bak.
Sementara itu, di Kelantan, gelombang banjir kedua telah menyebabkan 163 penduduk daripada 37 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di jajahan Gua Musang, iaitu PPS Dewan Semai Bakti Felda Chiku 7, Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1, dan Dewan Orang Ramai Batu 6.
Di Johor, jumlah penduduk terjejas banjir menurun kepada 150 orang berbanding 166 orang pagi tadi.
"Dua daerah masih terjejas di negeri itu dengan tiga PPS masih beroperasi," menurut kenyataan Info Bencana JKM.
Di Perak pula, 42 penduduk terjejas banjir direkodkan di Perak Tengah dan Kinta, menurun daripada 112 orang yang direkodkan pagi tadi.
Manakala di Melaka, satu PPS telah dibuka, namun tiada penduduk direkodkan pada petang ini.
Gelombang banjir kedua turut menyebabkan 1,384 penduduk daripada 364 keluarga dipindahkan ke 21 PPS di Terengganu.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, daerah Kemaman mencatatkan 1,211 penduduk terjejas, manakala Dungun pula merekodkan 40 orang, setakat pukul 2.00 petang tadi.