
PUTRAJAYA, 1 Julai – Lebih 30,000 permohonan tambahan kuota BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) diluluskan setakat semalam bagi memenuhi keperluan pengguna yang menggunakan bahan api itu dalam kuantiti lebih tinggi.
- Kuota BUDI Diesel dibenarkan dipohon tambahan, naik daripada 200 liter kepada 300 liter bagi pengguna yang memerlukan lebih.
- Mekanisme pemindahan kelayakan dibuka kepada pasangan, ibu bapa, anak atau adik-beradik dengan syarat dan pengesahan ditetapkan.
- Harga diesel bersubsidi dikurangkan daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter hasil penjimatan subsidi bersasar.
- Sejak akses awal 27 Jun, hampir 80,000 pengguna telah memanfaatkan BUDI Diesel.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kemudahan itu diperkenalkan selepas mengambil kira corak penggunaan kumpulan sasar yang memerlukan diesel melebihi kelayakan asas.
“Dalam pelaksanaan BUDI Diesel, kita memahami bahawa kumpulan sasar turut merangkumi peniaga kecil, penjaja dan penyedia perkhidmatan kepada penduduk di kawasan pedalaman yang mungkin menggunakan diesel dalam kuantiti lebih tinggi.
“Justeru, kita membuka ruang kepada mereka untuk memohon tambahan kuota daripada 200 liter kepada 300 liter,” katanya ketika ditemui pada sesi tinjauan pelaksanaan BUDI Diesel di sebuah stesen minyak di sini, hari ini.
Menurut Datuk Seri Amir Hamzah, lebih 1,000 permohonan pemindahan kelayakan kepada ahli keluarga terdekat turut diterima setakat semalam.
Mekanisme itu membolehkan penerima asal memindahkan fungsi pembelian diesel bersubsidi kepada pasangan, ibu atau bapa, serta anak atau adik-beradik, tertakluk kepada syarat dan pengesahan ditetapkan.
Mengulas harga diesel bersubsidi yang diturunkan daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter berkuat kuasa hari ini, beliau berkata, pelaksanaannya dibuat hasil penjimatan daripada pelaksanaan subsidi bersasar.
“Apabila kita memperoleh penjimatan daripada penyasaran subsidi, manfaat itu dipulangkan semula kepada rakyat melalui pengurangan harga bahan api,” katanya.
Sejak akses awal dibuka pada 27 Jun lalu, hampir 80,000 pengguna telah memanfaatkan BUDI Diesel.
Semalam, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan penurunan harga diesel bersubsidi dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 700,000 pemilik kenderaan persendirian di seluruh negara.