
KUALA LUMPUR, 1 Julai – Kerajaan sedang membangunkan sistem MyProjek 2.0 yang akan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh pemantauan pelaksanaan projek pembangunan persekutuan di seluruh negara.
- Kerajaan bersedia menerbitkan laporan berkala terbuka bagi projek utama mengikut kawasan parlimen bila ada permintaan khusus.
- Kerajaan menegaskan ketelusan dan akauntabiliti dalam memantau prestasi projek agar siap mengikut jadual untuk faedah rakyat.
- Pemantauan dijalankan secara berterusan melalui penyelarasan persekutuan, kementerian, negeri dan daerah menggunakan pangkalan data utama.
- Ahli Parlimen boleh mendapatkan maklumat status projek melalui saluran sedia ada; cadangan memperluas akses dan pelaporan awam akan diteliti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, sistem itu akan menambah baik pangkalan data MyProjek sedia ada bagi memantau status pelaksanaan projek kerajaan.
“Kerajaan tiada halangan dan bersedia untuk menerbitkan laporan berkala secara terbuka bagi semua projek pembangunan utama di seluruh negara, mengikut kawasan parlimen sekiranya ada permohonan yang khusus dan ada keperluan untuk menerbitkannya.
“Sebenarnya, pihak kerajaan sentiasa bersikap telus dan akauntabiliti dalam memantau prestasi pelaksanaan projek pembangunan agar dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan, bagi memberi faedah kepada rakyat.
“Bagi memastikan pelaksanaan projek kerajaan persekutuan dapat dilaksanakan seperti yang dirancang, pemantauan secara berterusan sentiasa dilaksanakan”, katanya di Dewan Rakyat.
Datuk Mustapha berkata ketika ini pemantauan projek dilaksanakan secara berterusan menerusi mekanisme penyelarasan di peringkat persekutuan, kementerian, negeri dan daerah, selain menggunakan sistem MyProjek sebagai pangkalan data utama.
Tambah beliau, ahli parlimen boleh mendapatkan maklumat status projek melalui saluran sedia ada, manakala cadangan memperluas akses dan pelaporan awam akan diteliti.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Anak Mongin berhubung penerbitan laporan kemajuan projek pembangunan mengikut kawasan parlimen dan soalan tambahan Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid berkaitan penggunaan AI dalam pemantauan projek di Dewan Rakyat hari ini.