Diesel bersubsidi RM2.10 seliter mulai hari ini, ringankan beban rakyat

Gambar Hiasan / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Kira-kira 700,000 pemilik kenderaan persendirian di seluruh negara menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter bermula hari ini menerusi inisiatif BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel).

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif BUDI Diesel meringankan beban perbelanjaan bulanan terutamanya bagi pengguna kenderaan diesel berpenggunaan tinggi.
  • Pengguna melaporkan penjimatan signifikan, contohnya sekitar RM500 hingga RM1,000 bagi penggunaan tinggi.
  • Proses tuntutan subsidi mudah dan sama seperti kaedah BUDI95, memudahkan penerimaan manfaat.
  • Skop penerima diperluas ketara berbanding program sebelum ini, memberi manfaat lebih ramai pemilik kenderaan.

Pengguna menyifatkan penurunan harga berbanding RM2.15 seliter sebelum ini, mampu mengurangkan perbelanjaan bulanan, khususnya bagi mereka yang mencatat penggunaan bahan api tinggi.

Seorang pengguna BUDI Diesel, Syaqif Iman Sharom berkata, penjimatan yang diterimanya dianggarkan antara RM500 hingga RM1,000 berdasarkan kadar penggunaan diesel yang tinggi.

Selain itu, proses mendapatkan subsidi itu mudah kerana menggunakan kaedah sama seperti BUDI95.

“Tiada perbezaan ketara daripada segi penggunaannya. Langkah dan prosesnya sama seperti BUDI95, jadi tiada masalah untuk saya menggunakan subsidi BUDI Diesel ini,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Syahrizal Amri Jaafar berkata, subsidi berkenaan amat membantu individu yang menggunakan kenderaan diesel untuk perjalanan harian.

“Saya perlu berulang-alik dari Putrajaya ke Kuala Lumpur setiap hari. Penjimatan mungkin sekitar RM300 hingga RM400,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, penurunan harga diesel bersubsidi dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 pemilik kenderaan di Semenanjung Malaysia serta 300,000 lagi di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Jumlah itu merupakan peluasan ketara berbanding BUDI Diesel Individu sebelum ini yang hanya melibatkan kira-kira 180,000 penerima bantuan tunai bulanan di Semenanjung Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.