fb fb fb fb fb

Lebih 2,600 Coop Mart aktif di seluruh negara

Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan

KUALA LUMPUR, 6 November - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited memperkukuh rangkaian kedai koperasi Coop Mart di seluruh negara bagi memastikan ia kekal berdaya saing dan memberi manfaat kepada anggota serta komuniti setempat.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, sehingga kini terdapat 2,623 outlet Coop Mart aktif beroperasi di seluruh negara meliputi pelbagai kategori termasuk 652 outlet koperasi dewasa, 120 outlet kolej dan IPT, 1,807 outlet sekolah, 39 outlet D’Mart (KPF) serta lima outlet ANGKASA Mart.

"Penjenamaan dan promosi imej Coop Mart sebagai kedai komuniti rakyat dengan harga berpatutan sedang dilaksanakan melalui penyeragaman identiti serta pembukaan kedai konsep di bandar utama sebagai ikon jenama Coop Mart," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Sungai Besar Datuk Muslimin Yahaya berkenaan jumlah kedai Coop Mart di seluruh Malaysia dan jumlah yang masih aktif untuk memastikan ia terus berdaya saing dan mampu memberi pulangan kepada ahli-ahli Koperasi.

Antara usaha lain termasuk memperbanyakkan pusat pengedaran koperasi logistik, memperkenal produk jenama sendiri dengan harga lebih rendah serta memperkukuh sistem digital seperti point of sale (POS), inventori bersepadu dan aplikasi mudah alih Coop Mart.

Selain itu, KUSKOP turut memberi diskaun khas kepada anggota koperasi, melaksanakan kempen harga komuniti di kawasan PPR dan B40, memperkenalkan pakej barangan asas berharga rendah serta mempergiat latihan pengurusan melalui Institut Koperasi Malaysia (IKMa).

Penglibatan komuniti juga digalakkan melalui program promosi, jualan amal, rebat anggota dan aktiviti kemasyarakatan bagi memperkukuh sokongan kepada Coop Mart sebagai pemangkin pembangunan komuniti.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI