
KUALA LUMPUR, 26 Mei – Lebih 150,000 kenderaan sehari dijangka menggunakan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) pada hari-hari puncak bersempena Aidiladha yang bertembung dengan cuti persekolahan serta cuti hujung minggu.
- WCE akan menangguhkan semua kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang menutup lorong lebuh raya kecuali kerja kecemasan luar jangka.
- Jentera bantuan seperti trak tunda ditempatkan di lokasi strategik dan Pasukan Tindakan Kecemasan serta peronda diperkukuh 24 jam.
- Langkah proaktif diambil untuk memastikan insiden ditangani segera dan meminimumkan gangguan kepada aliran trafik utama.
- Pengguna disaran guna aplikasi mudah alih WCE untuk navigasi, maklumat trafik masa nyata dan bantuan AI; PayDirect serta kemudahan R&R disediakan.
WCE menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, peningkatan mendadak aliran trafik itu dijangka berlaku susulan pergerakan orang ramai yang pulang ke kampung halaman dan melakukan aktiviti percutian sepanjang tempoh berkenaan.
“Bagi memastikan kelancaran aliran trafik serta keselesaan pengguna, WCE akan melaksanakan pelbagai langkah kesiapsiagaan.
Ini termasuklah penangguhan semua kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong lebuh raya, kecuali bagi kerja-kerja kecemasan luar jangka,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu,jentera bantuan seperti trak tunda akan ditempatkan di lokasi strategik sepanjang jajaran lebuh raya dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) serta petugas peronda turut diperkukuh bagi memastikan bantuan dapat diberikan secara pantas dan berterusan 24 jam sehari.
Menurut WCE, langkah proaktif itu diambil bagi memastikan sebarang insiden dapat ditangani segera sekali gus meminimumkan gangguan kepada aliran trafik utama.
Pengguna turut disaran memanfaatkan aplikasi mudah alih WCE versi terkini yang menyediakan navigasi laluan, maklumat lokasi kemudahan, bantuan AI serta maklumat trafik masa nyata.
Selain itu, sistem PayDirect Touch ‘n Go di semua plaza tol WCE membolehkan caj ditolak terus daripada baki e-dompet tanpa perlu menambah nilai kad secara manual.
Lebuh raya berkenaan turut menyediakan infrastruktur fizikal yang lengkap termasuk enam Hentian Rehat dan Rawat (R&R) serta kemudahan Hentian Sebelah di setiap plaza tol bagi memberi keselesaan tambahan kepada pengguna.