Lawatan PM ke Jepun fokus pelaburan, teknologi dan AI

Datuk Seri Anwar Ibrahim/RTM

TOKYO, 10 Jun- Pelaburan bernilai tinggi, teknologi baharu serta kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) menjadi antara keutamaan utama dalam lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh hubungan dua hala untuk manfaat bersama dalam pelaburan dan pembangunan teknologi.
  • Memperoleh sokongan kerajaan serta syarikat utama Jepun bagi kerjasama teknologi tinggi termasuk AI.
  • Penyertaan dalam Persidangan Nikkei mengukuhkan hubungan dengan pemimpin politik, perniagaan, media dan penggubal dasar.

Perdana Menteri berkata tumpuan lawatan turut diberikan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara khususnya dalam sektor pelaburan dan teknologi.

Perkara itu turut menjadi antara fokus utama dalam pertemuan beliau bersama rakan sejawatnya, Sanae Takaichi.

“Selain acara sambutan rasmi, yang penting ialah usaha memastikan beberapa kepentingan negara terus diperkukuh dari segi pelaburan, teknologi tinggi termasuk dalam isu AI. Kita memberi keutamaan kepada perkara ini kerana kita perlu kerjasama dan dukungan bukan sahaja kerajaan Jepun, malah syarikat utama Jepun,” katanya.

Datuk Seri Anwar berkata demikian pada sidang media penutup selepas menamatkan lawatan rasmi beliau selama tiga hari ke Jepun.

Mengulas mengenai penyertaannya dalam Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31 di sini, Perdana Menteri berkata forum itu merupakan platform penting dalam memperkukuh hubungan dengan pemimpin politik, perniagaan, media dan penggubal dasar.

Untuk rekod, Jepun merupakan antara rakan ekonomi terpenting Malaysia dan kekal sebagai rakan dagang kelima terbesar negara sejak 2024. Pada 2025, jumlah perdagangan dua hala direkodkan sebanyak RM142.96 bilion (AS$33.39 bilion).

Setakat Disember tahun lalu, sebanyak 2,872 projek pembuatan dengan penyertaan Jepun telah dilaksanakan di Malaysia, dengan jumlah pelaburan mencecah RM107.9 bilion (AS$31.0 bilion).

Projek berkenaan turut menjana 347,346 peluang pekerjaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.