SUBANG JAYA, 30 April - Laporan awal siasatan insiden kebakaran gas Putra Heights dijangka diperolehi dalam tempoh seminggu lagi.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah mengeluarkan tiga spesimen dan dalam proses mengeluarkan satu lagi spesimen terakhir sebelum melengkapkan siasatan awal di tempat kejadian.
"Saya jangkakan dalam seminggu lagi yang mana kita nak keluarkan spesimen terakhir itu. Jadi dalam satu minggu siasatan di tempat kejadian bagi pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan akan lengkap.
"Dan secara spesifik perlukan analisa di makmal dengan bantuan SIRIM untuk uji dan beberapa lagi analisa yang mereka perlu buat untuk dapatkan jawapan, bagaimana letupan itu boleh berlaku," Hussein bercakap kepada pemberita selepas sesi tinjauan bersama pengamal media bagi melihat kerja-kerja siasatan melibatkan pengorekan tanah di lokasi kejadian letupan dan kebakaran saluran paip gas Putra Heights.
Tambahnya, lokasi kejadian letupan akan diserahkan semula kepada pihak Petronas selepas siasatan awal lengkap bagi proses pemulihan laluan paip gas di kawasan terbabit.
Geoforensik Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga akan mengeluarkan laporan bagi membantu menganalisa struktur tanah dan lain-lain berkaitan ujian tanah.