PUTRAJAYA, 10 Julai -- Tempoh tiga bulan diberikan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk mengusahakan koordinasi di antara beberapa agensi berkaitan begi membendung gejala dadah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata bagi tujuan tersebut, pihak yang terlibat perlu merangka, menyusun inisiatif atau program yang efektif dan bermanfaat.
Beliau berkata, tahap penagihan dadah di negara ini semakin membimbangkan dengan anggaran terkini menunjukkan 1,097,408 rakyat negara ini terjerumus ke dalam najis dadah.
"Lebih menyedihkan 328,640 daripada jumlah itu adalah mereka yang berumur 15 hingga 29 tahun. Daripada jumlah itu juga,1,051,712 adalah penagih lelaki manakala 45,696 lagi penagih wanita," kata Dr. Ahmad Zahid menerusi kenyataan selepas mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gelaja Dadah (JKMD) Bilangan 1 bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), di sini, hari ini.
Tambah Dr. Ahmad Zahid, dapatan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2020 menunjukkan, setiap 100 orang belia di negara ini, enam daripadanya mengaku pernah mengambil dadah manakala empat lagi mengaku masih aktif mengambil dadah pada tempoh kajian dijalankan.