
KULAI, 23 Jun – Pengoperasian lampu isyarat pintar berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) virtual loop di tiga persimpangan utama di Kulai berjaya mengurangkan barisan trafik pada waktu puncak pagi hingga 36 peratus.
- Kesesakan waktu puncak petang berkurang sehingga 33 peratus.
- Masa perjalanan dipendekkan kira-kira empat minit pagi dan lebih lima minit petang.
- Sistem lampu isyarat pintar mengoptimumkan tempoh lampu hijau secara automatik berdasarkan aliran trafik semasa.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata kesesakan trafik pada waktu puncak petang pula berkurangan hingga 33 peratus.
Masa perjalanan pada waktu puncak pagi turut dipendekkan kira-kira empat minit, manakala pada waktu puncak petang, ia berkurangan lebih lima minit.
Sistem Lampu Isyarat Pintar itu mengoptimumkan tempoh lampu hijau secara automatik berdasarkan aliran trafik semasa bagi memastikan pergerakan kenderaan lebih lancar dan teratur.
Menurut beliau, beberapa inisiatif dan intervensi tambahan akan dilaksanakan secara berperingkat bagi menangani isu kesesakan trafik di daerah itu.