
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Rain Rave Water Music Festival 2026 dianggar menjana impak ekonomi sebanyak RM392.33 juta kepada negara menerusi kehadiran kira-kira 415,000 pengunjung, sekali gus memperkukuh peranan pelancongan berasaskan acara sebagai pemacu pertumbuhan industri pelancongan Malaysia.
- Festival dipilih sebagai acara ikonik TMM2026 melalui kerjasama Tourism Malaysia dan sektor swasta untuk tarik lebih pelawat dan tingkatkan perbelanjaan pelancong.
- Dijangka menarik kira-kira 100,000 pelancong asing dari China, Jepun, India, Korea Selatan, Thailand, Singapura, Indonesia dan Vietnam.
- Penganjuran diperluas ke Terengganu, Melaka, Labuan, Negeri Sembilan, Johor dan Langkawi bagi manfaat ekonomi lebih meluas.
- Kerajaan peruntuk RM11 juta, sektor swasta RM4 juta; kemasukan percuma dipilih untuk hargai rakyat dan luaskan penyertaan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing berkata festival itu dipilih sebagai salah satu acara ikonik kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) menerusi kerjasama antara Tourism Malaysia dan sektor swasta bagi menarik lebih ramai pelawat serta meningkatkan perbelanjaan pelancong.
“Festival berkenaan dijangka menarik kira-kira 415,000 pengunjung termasuk 100,000 pelancong asing dari China, Jepun, India, Korea Selatan, Thailand, Singapura, Indonesia dan Vietnam.
Penganjuran festival itu turut diperluas ke beberapa negeri termasuk Terengganu, Melaka, Labuan, Negeri Sembilan, Johor dan Langkawi bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh di seluruh negara,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman di Dewan Rakyat hari ini.
Tiong berkata kerajaan memperuntuk RM11 juta bagi menjayakan festival berkenaan manakala sektor swasta menyumbang RM4 juta lagi.
Tambah beliau, setiap RM1 yang dibelanjakan kerajaan dianggarkan mampu menjana pulangan ekonomi sekitar RM36 menerusi peningkatan aktiviti pelancongan, perniagaan tempatan serta perbelanjaan pengunjung.
Walaupun festival itu berpotensi menjana puluhan juta ringgit melalui jualan tiket, kerajaan memilih untuk mengekalkan konsep kemasukan percuma sebagai penghargaan kepada rakyat serta bagi memperluas penyertaan masyarakat ketika TMM2026.
Beliau turut memaklumkan sokongan kukuh daripada sektor swasta termasuk pusat beli-belah, hotel, syarikat pengangkutan dan jenama antarabangsa membuktikan keyakinan tinggi terhadap potensi industri pelancongan negara.
Setakat Mei lepas, Malaysia merekodkan 17.5 juta pelawat berbanding 16.9 juta pelawat dalam tempoh sama tahun lalu, peningkatan sebanyak 3.4 peratus.