
KOTA BHARU, 23 Jun – Penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter mulai 1 Julai ini dijangka mengurangkan kos harian pengguna serta perbelanjaan operasi peniaga di Kelantan.
- Penurunan harga diesel memberi kelegaan kepada pengguna yang menggunakan kenderaan diesel setiap hari.
- Kos operasi peniaga dan harga bahan mentah dijangka berkurangan akibat harga diesel lebih rendah.
- Langkah itu membantu mengurangkan beban kos sara hidup terutamanya bagi pengguna dengan penggunaan diesel tinggi.
- Subsidi disasarkan melalui MyKad supaya hanya rakyat layak menikmati, seterusnya mengurangkan ketirisan dan penyeludupan diesel.
Seorang pengguna, Mohd Faiz Md Husin berkata penurunan harga itu memberi kelegaan kerana beliau menggunakan kenderaan diesel setiap hari untuk urusan kerja.
“Langkah menyelaraskan semula harga itu adalah satu keputusan yang baik,” katanya.
Zawahir Abdullah pula berpandangan kadar baharu berkenaan dapat mengurangkan perbelanjaannya kerana penggunaan diesel yang tinggi.
“Penurunan kepada RM2.10 seliter memang sangat melegakan. Walaupun menerima subsidi, penggunaan kami agak banyak dan kerap, jadi langkah ini amat membantu,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Mohd Zaki Ramli menyifatkan harga baharu itu dijangka mengurangkan sebahagian besar kos bahan api yang ditanggungnya.
“Langkah ini banyak membantu mengurangkan beban kos sara hidup. Jadi penurunan kepada RM2.10 memberi kelegaan besar,” katanya.
Bagi peniaga, Bustanol Ariffin Mohd Kamal, kos diesel turut memberi kesan terhadap perbelanjaan operasi perniagaan.
“Terima kasih kepada kerajaan kerana harga diesel yang tinggi memberi kesan kepada kos bahan mentah.
“Saya berpendapat penggunaan MyKad bagi mendapatkan diesel bersubsidi adalah lebih berkesan,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia akan diturunkan kepada RM2.10 seliter bermula bulan depan menerusi mekanisme penyasaran subsidi berasaskan MyKad.
Pelaksanaannya bertujuan memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat Malaysia yang layak, selain mengurangkan ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi.