UMT terima 743 pelajar baharu termasuk pelajar asnaf

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Zamri menyantuni pelajar baharu semasa sesi pendaftaran pelajar yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan UMT/Foto UMT

KUALA NERUS, 23 Jun – Seramai 743 daripada 980 pelajar baharu bagi Program Asasi STEM dan Diploma Perikanan mendaftar masuk di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), bagi sesi akademik 2026/2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • UMT menerima pelajar baharu termasuk mereka dari golongan asnaf, memberi peluang pendidikan.
  • Nur Qaira Damia melihat penerimaan ke Diploma Perikanan sebagai rezeki dan peluang kedua untuk masa depan keluarganya.
  • Pengurusan UMT dan Naib Canselor mengunjungi keluarga, menyampaikan bantuan sokongan dan kata-kata semangat.
  • Pelajar seperti Marissa Irdina memilih Asasi STEM selepas pameran Jom Masuk Universiti, bercita-cita dalam data analitik.

Kalangan pelajar baharu itu termasuk Nur Qaira Damia Amir Abdullah; sebelum ini pernah mendapat perhatian media berikutan kisah hidup yang dihadapi keluarganya sebagai golongan asnaf yang berdepan kekangan kewangan.

Menurut Nur Qaira yang bakal mengikuti pengajian dalam Program Diploma Perikanan, tawaran melanjutkan pengajian ke UMT disifatkan sebagai peluang berharga untuk mengubah masa depan diri dan keluarganya.

Nur Qaira Damia Amir Abdullah/Foto UMT

“Saya sangat bersyukur dan gembira kerana diberi peluang melanjutkan pengajian program Diploma Perikanan di UMT walaupun berdepan dengan pelbagai kesukaran.

“Apabila menerima tawaran ini, saya menganggapnya sebagai satu rezeki dan peluang kedua untuk membuktikan kemampuan diri kerana saya masih mempunyai keinginan yang kuat untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Menurut Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim setiap pelajar yang melangkah masuk ke kampus universiti itu membawa bersama impian, harapan dan potensi yang besar untuk dibangunkan sepanjang tempoh pengajian mereka.

“Di UMT, kami bukan sekadar melahirkan graduan, tetapi membentuk generasi masa depan yang mampu menerajui perubahan,” katanya sempena hari pendaftaran pelajar baharu di kampus UMT di sini pada Isnin.

Sebelum ini, pihak pengurusan tertinggi telah mengunjungi kediaman keluarga Nur Qaira Damia bagi melihat keadaan mereka serta menyampaikan bantuan sokongan dan kata-kata semangat.

Nur Qaira Damia berkata, kunjungan itu memberi motivasi kepadanya untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam pelajaran.

Marissa Irdina Mohamad Idris/Foto UMT

“Saya sangat terharu apabila pihak UMT, khususnya Naib Canselor sendiri, mengambil berat tentang keadaan keluarga saya. Sokongan yang diberikan membuatkan saya lebih bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh,’ katanya.

Bagi seorang lagi pelajar baharu, Marissa Irdina Mohamad Idris, 18, dari Kuala Lumpur, pendaftaran ke Program Asasi STEM merupakan langkah pertama untuk merealisasikan minatnya dalam bidang data analitik.

Katanya, keputusan memilih UMT dibuat selepas mengunjungi reruai universiti itu ketika program Jom Masuk Universiti yang memberi gambaran jelas mengenai peluang pendidikan dan prospek kerjaya yang ditawarkan.

“Saya mula berminat untuk menyambung pengajian di UMT selepas mengunjungi booth pameran Jom Masuk Universiti. Penerangan yang diberikan sangat membantu dan membuka mata saya tentang peluang yang ada di sini.

“Saya mempunyai minat yang mendalam dalam bidang data analitik dan berharap program ini dapat menjadi asas yang kukuh untuk melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut pada masa hadapan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.