LAE tawar 100,000 peluang pekerjaan menjelang 2030 – Tze Tzin

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Ekonomi Altitud Rendah (LAE) dijangka membuka 100,000 peluang pekerjaan berkemahiran dan bernilai tinggi menjelang 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • LAE dijangka membuka peluang kerjaya luas terutama untuk belia, melibatkan pengeluar, pembuat perisian, kilang, usahawan dan pengusaha pertanian.
  • MITI dan NAICO akan memulakan projek rintis Ekosistem Lembah Tanpa Pemandu dengan eksperimen dron di kawasan universiti.
  • Negara perlu menguasai teknologi, fokus kepada pasaran niche seperti pertanian, serta mengutamakan aspek keselamatan dan peraturan penggunaan dron.

Tze Tzin berkata, sektor baharu ini akan menawarkan ruang kerjaya yang luas terutama kepada golongan belia.

“Ia dijangka menjadi sesuatu yang besar pada masa akan datang dan menawarkan peluang pekerjaan baharu terutama kepada golongan belia.

“Peluang yang dimaksudkan meliputi pelbagai lapisan iaitu pengeluar, pereka perisian, kilang, usahawan dan pengusaha pertanian,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media.

Beliau berkata, walaupun pertumbuhan ekonomi tersebut di Malaysia masih baharu, negara masih tidak jauh ketinggalan berbanding negara seperti China, Amerika Syarikat dan Jepun.

“Dalam memastikan Malaysia dapat bergerak seiring negara-negara maju, negara kita perlu menguasai dan menerajui teknologi dan fokus kepada pasaran khusus atau ‘niche‘ seperti sektor pertanian, perladangan dalam mengangkat ekonomi LAE ke persada dunia, ” tambahnya.

Tze Tzin turut memaklumkan, MITI dan Perbadanan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) Malaysia akan memulakan fasa pertama dalam LAE menerusi projek rintis Ekosistem Lembah Tanpa Pemandu (Unmanned Valley Ecosystem).

Menerusi projek itu, pelbagai eksperimen akan dijalankan terutama di kawasan universiti untuk melihat kepesatan penggunaan dron dalam kalangan pelajar.

Dalam pada itu, beliau berkata, sudut keselamatan dan peraturan dalam penggunaan dron harus dititikberatkan bagi melancarkan segala bentuk proses.

LAE adalah satu ekonomi di bawah 1,000 kaki yang mengimplementasi kegunaan pesawat tanpa pemandu atau dron sebagai sumber perkhidmatan utama yang di kategorikan sebagai kaedah teksi udara atau ‘air taxi’.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.