Jerebu rentas sempadan: ‘Boleh rasa asap dalam mulut’ – Penduduk Sarawak

Pemandangan udara menunjukkan keadaan berjerebu menyelubungi kawasan sekitar Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching/ AFP

KUCHING, 3 September- Jerebu yang semakin buruk di Sarawak menjejaskan kesihatan dan aktiviti harian penduduk, selain meningkatkan permintaan terhadap topeng pelindung muka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penduduk alami sakit tekak, bersin, mata berair dan asma semakin teruk; rasa asap di dalam mulut.
  • Farmasi kehabisan topeng yang mampu menapis zarah halus; hanya topeng biasa masih tersedia.
  • Pakar kesihatan berkata pencemaran udara boleh sebabkan batuk, kerengsaan, sesak nafas dan menjejaskan daya tahan.
  • Beberapa kawasan catat tahap sangat tidak sihat dan bahaya; pembenihan awan boleh dimulakan jika cuaca mengizinkan.

Penduduk, Ivana Mason, 37, berkata keadaan itu menyebabkan sakit tekak, bersin berterusan, mata berair serta memburukkan masalah asmanya.

“Saya terpaksa berhenti ke gim yang tidak berhawa dingin seperti biasa dan mengehadkan aktiviti di luar.

“Jika berada di luar, saya benar-benar boleh rasa asap di dalam mulut,” katanya kepada AFP.

Menurutnya, lima farmasi yang dikunjunginya sudah kehabisan topeng muka yang mampu menapis zarah halus, manakala hanya topeng muka biasa sahaja masih tersedia.

“Topeng muka biasa tidak berkesan untuk melindungi daripada zarah halus jerebu,” katanya.

Sementara itu, ahli farmasi, Dawi Bakri, 31, berkata permintaan terhadap topeng muka meningkat dengan ketara sejak keadaan jerebu bertambah buruk.

“Semua jenis topeng terjual lebih cepat daripada biasa,” katanya.

Pegawai terapi di Pusat Jantung Sarawak, Md Khairulanwar Asri, 33, berkata kualiti udara yang buruk boleh memberi kesan kepada individu yang mempunyai masalah jantung atau pernafasan serta warga emas yang mempunyai pelbagai penyakit.

“Pendedahan kepada kualiti udara yang buruk boleh menyebabkan batuk, kerengsaan tekak dan mata serta sesak nafas.

“Gejala ini juga boleh menjejaskan daya tahan dan keupayaan seseorang menjalankan aktiviti harian dengan selesa, khususnya aktiviti yang memerlukan tenaga fizikal,” katanya.

Sarawak antara kawasan yang terjejas teruk dalam episod jerebu terkini susulan asap daripada kebakaran hutan dan tanah di Indonesia yang merentas sempadan.

Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat 12.00 tengah hari, satu kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap bahaya, manakala empat lagi tahap sangat tidak sihat.

Serian merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 364.

Sri Aman, Kuching, Samarahan dan Sarikei pula merekodkan bacaan masing-masing 287, 279, 266 dan 216, yang dikategorikan sangat tidak sihat.

Sementara itu, tujuh kawasan lain iaitu Sibu, Bintulu, Mukah, Samalaju, Kapit, Limbang dan ILP Miri berada pada tahap tidak sihat dengan bacaan antara 152 hingga 183.

Terdahulu, pihak berkuasa Sarawak memaklumkan operasi pembenihan awan boleh dimulakan seawal hari ini, sekiranya keadaan cuaca mengizinkan. -AFP/APIMS JAS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.