Potensi penjawat awam berwakaf masih besar – Dr. Zulkifli

Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan menyempurnakan Majlis Penerimaan dan Penyerahan Dana Wakaf Tunai Malaysia di Putrajaya./ Foto IKIMfm

PUTRAJAYA, 3 Sept – Potensi memperluas penyertaan penjawat awam dalam wakaf masih signifikan apabila jumlah pewakaf melalui kemudahan potongan gaji ketika ini hanya sekitar satu peratus daripada keseluruhan penjawat awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Potensi wakaf boleh membuka ruang bagi pembangunan projek wakaf berskala besar dan berimpak tinggi demi manfaat masyarakat.
  • Yayasan Waqaf Malaysia memperkukuh ekosistem wakaf melalui kerjasama strategik dengan MAIN dan menyediakan potongan gaji sebagai saluran mudah.
  • Kepercayaan kepada reputasi dan tadbir urus YWM menarik sumbangan persendirian termasuk wakaf tunai RM1 juta, menguatkan keyakinan pewakaf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, potensi berkenaan mampu membuka ruang kepada pembangunan projek wakaf berskala besar dan berimpak tinggi untuk manfaat masyarakat.

Sehubungan itu, katanya, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) akan memperkukuh ekosistem wakaf negara menerusi kerjasama strategik bersama-sama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), termasuk menyediakan kemudahan potongan gaji sebagai saluran mudah dan konsisten kepada penjawat awam untuk berwakaf.

“Kita telah melaksanakan pelbagai usaha promosi dan kita melihat potensi itu sangat besar dan insya-Allah dengan kerjasama daripada Majlis Agama Negeri-negeri, JAWHAR dan Yayasan Waqaf Malaysia, kita akan cuba teroka memaksimumkan potensi yang ada.

“Kita yakin apabila penjawat awam dan orang ramai mula berwakaf, insya-Allah akan membina kekuatan ekonomi ummah dan dalam masa sama mendapat keberkatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penerimaan dan Penyerahan Dana Wakaf Tunai Malaysia di Putrajaya.

Sehingga 31 Disember tahun lalu, kutipan terkumpul menerusi kemudahan potongan gaji YWM mencecah RM21.29 juta, melibatkan 10,963 pewakaf.

Ia membabitkan kerjasama dengan lapan MAIN iaitu Terengganu, Sabah, Johor, Kedah, Wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis.

Pada majlis sama, Dr Zulkifli turut menyaksikan penerimaan wakaf tunai persendirian berjumlah RM1 juta kepada YWM.

Wakil pewakaf, Norfadzilla Fakhari berkata, hubungan baik dengan YWM serta keyakinan terhadap reputasi dan tadbir urus yayasan itu menjadi antara faktor pihaknya memberikan kepercayaan untuk menguruskan wakaf berkenaan.

“Pertama, kita ada hubungan baik dengan Yayasan Waqaf Malaysia dan kita tahu Yayasan Waqaf Malaysia dari segi reputasi mereka sangat telus dan juga sangat menyelia seluruh Malaysia.

“Pewakaf memberi sepenuh kepercayaan kepada tadbir urus dan juga ahli lembaga yang ramai dan beliau yakin Yayasan Waqaf Malaysia yakin mentadbir harta beliau,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.