BUKIT JALIL, 21 November- Penyediaan latihan dan kurikulum bersesuaian wajar dilaksana bagi mempersiapkan tenaga kerja tempatan yang terlatih dan berkemahiran tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan kerjasama antara agensi kerajaan dan pihak universiti mampu merealisasikan hasrat tersebut.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklum balas daripada beberapa syarikat luar negara yang menyifatkan Malaysia kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
"Sebaik sahaja dikenal pasti, maka MIMOS (MIMOS Berhad) harus ke depan untuk menyiapkan kurikulum latihan dan menyediakan kemudahan, sama ada dikendali langsung oleh MIMOS atau diselaraskan dengan universiti atau pusat penyelidikan tempatan lain.
"Dalam bidang automotif umpamanya, Geely (pengeluar kenderaan terbesar di China) yang setuju untuk mengadakan automotive city di Tanjung Malim, hampir saban minggu ada pimpinan daripada Geely yang (datang) ke Tanjung Malim untuk menggerakkan automotive city, universiti dan pusat penyelidikan dalam bidang kepakaran kenderaan.
"Tetapi pandangannya sama bahawa jurutera kita walaupun cukup terlatih (namun) masih ada kekurangan dari segi kemahiran tertinggi. Jadi, kita serahkan kepada mana-mana penyelidikan lain atau universiti tempatan untuk mengenalpasti bidang yang perlu dilatih," katanya ketika berucap pada lawatan rasmi ke MIMOS Berhad di ibu negara.
Anwar berharap bidang tertentu dapat dikenal pasti untuk diberikan latihan agar dapat mempersiapkan tenaga terlatih, serta memperbaiki kekurangan dan melonjakkan bidang digital serta teknologi kecerdasan buatan (AI).