fb fb fb fb fb

KPWKM sokong SOP baharu percepat kes mahkamah kanak-kanak

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menyampaikan hadiah kepada wakil sekolah yang memenangi acara Cerita Rakyat sempena Perasmian Program Kasih Keluarga dan pelancaran Kick Off Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2025 di Santubong, Sarawak /BERNAMA

KUCHING, 18 Oktober- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyokong usaha menetapkan prosedur operasi standard, (SOP) bagi mempercepatkan proses mahkamah melibatkan kanak-kanak agar dapat diselesaikan dalam tempoh kurang setahun.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu penting bagi memastikan kebajikan kanak-kanak dilindungi segera.

Tambahnya, pelaksanaan SOP itu selari dengan tanggungjawab kementeriannya dalam menjaga kebajikan anak-anak.

“Memang itu salah satu daripada hasrat kita. Cuma kita tidak dapat mencampur aduk dengan bidang kuasa di bawah Kementerian Undang-Undang. Tapi oleh kerana ia telah diperkenalkan,disarankan, memang kita menyokong. Sebab itulah salah satu cara terbaik supaya ia dipatuhi, ” katanya.

Datuk Seri Nancy berkata demikian selepas merasmikan Program KASIH Keluarga dan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan di Kampung Santubong, Kuching.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan bahawa kerajaan akan menetapkan SOP baharu bagi memastikan semua kes mahkamah membabitkan kanak-kanak diselesaikan dalam tempoh setahun dan ia yang akan dilancarkan pada 24 Oktober ini.

SITI NOORAIN ABDULLAH