fb fb fb fb fb

KPWKM bincang dengan kerajaan negeri bina makmal subfertiliti di Sarawak

Datuk Seri Nancy Shukri menghadiri sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak/FOTO FB Nancy Shukri

KUCHING, 26 November - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Sarawak bagi mewujudkan makmal sebagai salah satu komponen Pusat Subfertiliti Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya telah mengenal pasti Pusat Subfertiliti terletak di Petra Jaya yang kini dalam proses pengubahsuaian.

Bagaimanapun, pusat tersebut tidak memiliki makmal perkhidmatan rawatan kesuburan.

“Jadi saya perlu berbincang dengan kerajaan negeri dulu untuk mendapat persetujuan dan mungkin kalau kerajaan negeri hendak menyumbang sedikit...untuk kos lain, kementerian akan tanggung.

"Bangunan (merujuk kepada bangunan LPPKN baharu di Wisma Sego) sudah ada dan kini sedang dalam pengubahsuaian, cuma kita belum ada makmal, saya akan bincang untuk masukkan makmal sebagai salah satu dari komponen dalam bangunan tersebut kerana ia melibatkan kos yang banyak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK) 2023 peringkat negeri di pekarangan Masjid Darul Hana di sini, hari ini.

Lebih 1000 ahli keluarga termasuk pemimpin tempatan menyertai sambutan BKK peringkat negeri Sarawak bertemakan Keluarga Harmoni, Negara Madani dimulai dengan acara larian keluarga.

Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikas (Ultiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Pengerusi LPPKN Datuk Seri Rohani Karim dan Ketua Pengarah LPPKN Abdul Shukur Abdullah.

GRACE AISYAH KEDAYAN