TANJONG MALIM, 4 Februari- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) optimis bahawa sasaran kemasukan 200,000 pelajar antarabangsa menyambung pengajian di Malaysia ini mampu dicapai menjelang beberapa tahun akan datang.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan kualiti dan ekosistem pendidikan tinggi serta kestabilan di negara ini.
Beliau berkata ke arah itu KPT akan terus meneroka kerjasama pendidikan dengan pelbagai negara termasuk memfokuskan kepada usaha meningkatkan mobiliti pelajar antarabangsa ke Malaysia.
"Kita telah mulakan pendekatan ini di beberapa buah negara melalui satu pelan konsortium yang kita urusakan antara universiti. Maksudnya universiti bekerjasama dalam kalangan mereka mengenal pasti bidang-bidang kepakaran mereka masing-masing.
"Mereka tidak boleh menguasai semua. Masing-masing ada kekuatan, gunakan kekuatan yang ada, kita bawa pakej Malaysia.
"Pendidikan Malaysia itu kita tawarkan program-program di luar negara", katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Uzbekistan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjong Malim.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi Sains dan Inovasi Republik Uzbekistan Konratbay Sharipov dan Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.
Dalam pada itu, Dr Zambry turut mengesahkan penerimaan surat peletakan jawatan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.
Beliau berkata pihaknya menerima peletakan jawatan itu kerana Mohd Ekhwan memberikan sebab mahu menumpukan perhatian terhadap perkara lain.
"Apa-apa pun saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berbahagia Datuk Ekhwan yang menjalankan tugas dengan baik, turut dihormati oleh rakan-rakan, beliau telah menjadi NC (Naib Canselor) dan telah disambung, jadi atas kapasiti itu beliau rasa telah sampai masa (meletak jawatan)," katanya.
Tambahnya, beliau menghormati keputusan tersebut dan memberitahu pelantikan baharu akan melalui proses biasa serta akan diumumkan kemudian.
Terdahulu, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Naib Canselor UKM berkuat kuasa Ahad lalu.
Beliau kali pertama dilantik bagi jawatan itu pada 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2023 sebelum perkhidmatannya disambung semula.