SEPANG, 23 Februari- Kerjasama semua pihak, termasuk ibu bapa dan penjaga penting untuk melaporkan sebarang penjualan gula-gula kenyal atau 'gummy' berbentuk mata di luar premis sekolah.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata meskipun penguatkuasaan terhadap penjaja di luar premis sekolah berada di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), namun ibu bapa boleh bekerjasama rapat dengan kementeriannya bagi menghentikan penjualan gula-gula berkenaan.
"Kita perlu ada satu kerjasama di peringkat jawatankuasa Kabinet. Saya memang difahamkan mengenai malpemakanan, iaitu jawatankuasa malpemakanan, termasuk kita meneliti jenis makanan yang dijual di persekitaran sekolah.
"Jadi, kalau tak sesuai, memang tak sesuailah. Tapi saya kira, ini perlu ada kerjasama semua pihak, termasuk ibu bapa.
"Kalau dah nampak yang tak sesuai, laporkan kepada kita. Jangan tunggu pihak berkuasa tertentu saja untuk bertindak. Contohnya, gula-gula itu, kan? Saya tengok pun memang menakutkan, tetapi yang menakutkan itulah yang menjadi kegemaran anak-anak kita.
"Jadi, apa yang kita perlu buat ialah mendidik anak-anak kita supaya benda-benda seperti itu jangan diambil," katanya kepada pemberita selepas Perasmian Taman Rekreasi Madani (TRM) bagi Projek Taman Permainan Desa Pinggiran Putra di sini.
Terdahulu, seorang kanak-kanak meninggal dunia selepas tercekik gula-gula berkenaan.
Mangsa yang sebelum itu kritikal, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang.
BERITA BERKAITAN:
- PBT Melaka pantau penjualan 'Gummy' mengikut larangan KKM
- Keselamatan kanak-kanak: Larangan ‘gummy’ langkah tepat
- Jenazah kanak-kanak tercekik ‘gummy' selamat dikebumi
- Kematian kanak-kanak tercekik 'gummy' tiada unsur jenayah