GUA MUSANG, 23 Februari- Sebanyak 5,000 ekor ayam dijual pada harga RM5 seekor kepada penduduk Gua Musang menerusi program Jualan Ambang Ramadan anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas di Taman Etbobotani di sini hari ini.
Program itu bertujuan membantu meringankan beban rakyat dengan menawarkan harga keperluan makanan asas lebih murah berbanding harga pasaran setempat.
Selain ayam, daging lembu melibatkan 20 ekor lembu, 15 tan ikan pelbagai jenis, 600 papan telur dan hampir 1,000 kilogram minyak masak turut disediakan untuk pembelian orang ramai.
ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata inisiatif berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk pelbagai masyarakat.
"Saya tengok sambutan baik bukan sahaja daripada masyarakat Melayu tetapi juga Cina, India dan orang asli. Kita adakan program ini untuk beri ruang kepada mereka yang kurang berkemampuan menyediakan lauk di rumah supaya dapat menyambut Ramadan dengan hati tenang," katanya.
Penduduk yang hadir pula menyatakan rasa syukur dengan adanya jualan berkenaan.
"Terima kasih banyak Abe Din (Mohd Syahbuddin), terima kasih. Hari ini ayam murah, hari itu ramai sangat. Hari ini datang awal, dapat beli banyak. Enam ekor RM30, memang berbaloi," kata Man Alang.
Bagi seorang lagi penduduk, Rohani Sulaiman, program jualan murah itu sangat membantu mereka mendapatkan bekalan keperluan asas dengan harga lebih rendah.
"Memuaskan, ada YB (wakil rakyat) macam ini boleh bincang dengan rakyat. Terima kasih YB (Mohd Syahbuddin), hanya DUN Galas saja ada jual murah macam ini. Biasanya RM8 hingga RM9 sekilogram, hari ini saya borong,” katanya.
Jualan itu dianggarkan memberi manfaat kepada lebih 5,000 keluarga di kawasan berkenaan menjelang ketibaan Ramadan.

Mohd Syahbuddin Hashim pada program Jualan Ambang Ramadan di DUN Galas, Gua Musang/RTM