AYER KEROH, 22 Februari – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka akan memantau peniaga yang dikesan menjual gula-gula kenyal atau 'gummy', selaras dengan larangan penjualan yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin, berkata tindakan akan diambil sekiranya kerajaan mengharamkan produk tersebut secara rasmi.
“Jika kerajaan telah mengharamkan gula-gula getah kenyal seperti yang berlaku baru-baru ini, sudah tentu kita akan mengambil tindakan segera.
"Namun, setakat ini, kita masih menunggu garis panduan rasmi. Jika ada, barulah kita boleh bertindak kerana kita juga bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan tidak boleh mengambil tindakan tanpa mengikut SOP,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Anda Kitar Kami Bayar Perdana 100 TAN KG Kitar Semula Komuniti Lestari di Dataran MBMB, di sini.
Terdahulu, KKM menegaskan bahawa gula-gula kenyal ‘gummy eye ball’ dilarang dijual di semua platform dalam talian dan pasaran domestik.