KUALA LUMPUR, 22 Februari – Masjid At-Taqwa menganjurkan Karnival Jualan Makan Segar (JAMAS) bagi mengimarahkan masjid serta meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.
Pengerusi Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr. Ismail, Datuk Fadzli Yusof berkata karnival tersebut menyediakan kira-kira 40 gerai yang menawarkan pelbagai produk, termasuk makanan basah dan segar, selain barangan lain pada harga berpatutan.
"Karnival ini bukan sekadar aktiviti jualan, tetapi juga sebagai platform memperkukuh hubungan komuniti. Kita mahu masjid bukan hanya menjadi tempat ibadah bagi umat Islam, tetapi juga pusat pertemuan masyarakat, termasuk mereka yang bukan beragama Islam," katanya ketika ditemui di karnival berkenaan.
Karnival JAMAS kini memasuki edisi ketiga sejak penganjurannya bermula tahun lalu susulan sambutan menggalakkan daripada masyarakat.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur Karnival JAMAS At-Taqwa, Datuk Agil Faisal Ahmad berkata peniaga turut menerima subsidi bagi mengurangkan kos penyertaan.
"Masjid mampu memberikan subsidi sehingga 50 peratus daripada jumlah keseluruhan kos RM30,000. Karnival ini menampilkan 40 gerai, termasuk 10 yang menjual makanan basah dan segar dengan harga berpatutan.
"Kami juga mengadakan program ‘Preloved Drive’ sepanjang minggu ini, di mana ahli kariah menyumbangkan barangan terpakai yang masih elok untuk dikumpulkan dan disalurkan kepada mereka yang memerlukan," katanya.
Tambah Agil Faisal, karnival tersebut akan terus diperluaskan bagi memberi manfaat lebih besar kepada masyarakat.