PETALING JAYA, 22 Februari – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini berada dalam keadaan stabil selepas dikejarkan ke hospital awal pagi tadi akibat tidak sedarkan diri di kediamannya.
Pegawai khasnya, Azran Fitri Rahim memaklumkan Ahli Parlimen Bera itu pengsan sekitar pukul 2.30 pagi disebabkan tekanan darah tinggi.
"Syukur, keadaannya telah stabil pada tengah hari ini dan beliau kini dalam keadaan sedar sepenuhnya. Namun, beliau masih memerlukan pemantauan rapi oleh doktor di sebuah hospital di Damansara," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut memaklumkan bahawa doktor menasihatkan agar Ismail Sabri tidak menerima pelawat buat masa ini sehingga pulih sepenuhnya, dan hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan melawat.
"Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesembuhan beliau," tambahnya.
Ismail Sabri, 65, merupakan Perdana Menteri Malaysia kesembilan dari Ogos 2021 hingga November 2022. Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden UMNO dari 2018 hingga 2023.