fb fb fb fb fb

Madrasah, pusat tahfiz diseru tubuhkan Skuad Bomba Tahfiz

Ketua Zon 2, JBPM Negeri Sembilan, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohammad Idris / Foto RTM

REMBAU, 22 Februari – Pusat tahfiz dan madrasah di Negeri Sembilan diseru untuk menubuhkan Skuad Bomba Tahfiz sebagai langkah awal dalam persediaan memadam kebakaran sekiranya berlaku di premis masing-masing.

Skuad Bomba Tahfiz merupakan inisiatif Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi melatih pelajar tahfiz bertindak sebagai ejen penyampaian mesej serta maklumat berkaitan aspek pencegahan dan keselamatan kebakaran dalam komuniti sekolah.

Ketua Zon 2, JBPM Negeri Sembilan, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohammad Idris, berkata usaha ini penting bagi memastikan pusat tahfiz mempunyai pengetahuan asas dalam mengendalikan situasi kecemasan kebakaran sebelum bantuan tiba.

"Kita telah menubuhkan tujuh skuad setakat ini dan akan menyampaikan sijil kepada mereka.

"Mereka akan dilatih dalam teknik pemadaman awal kebakaran di dalam bangunan serta langkah yang perlu diambil sebelum pihak bomba tiba.

"Skuad ini juga akan menggunakan alat pemadam api bagi mengawal kebakaran sementara menunggu bantuan," katanya ketika menghadiri Program Hari Terbuka Madrasah Az-Zakirin dan Hari Keselamatan Kebakaran Skuad Bomba Daerah Rembau di sini.

JBPM Negeri Sembilan merancang untuk mengembangkan kembali Skuad Bomba Tahfiz ini kerana ia berperanan sebagai First Responder, yang membantu mengawal keselamatan kebakaran premis sebelum ketibaan pasukan bomba.

Skuad ini akan mengikuti modul khas selama lapan jam, merangkumi teori dan latihan praktikal yang dikendalikan di balai bomba. Peserta yang menamatkan modul akan menerima sijil pendaftaran dan keahlian rasmi.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD