BANGI, 22 Februari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan kepuasan terhadap pencapaian Jemaah Menteri setakat ini, terutama dalam usaha menambah baik prestasi negara di tengah ketidaktentuan geopolitik global.
Menurutnya, setiap teguran dan pandangan yang diberikan akan diteliti bagi memperbaiki prestasi kerajaan secara berterusan.
"Tentunya beberapa petunjuk pencapaian yang ada cukup membanggakan. Namun, terdapat beberapa isu yang perlu diberi perhatian dan disesuaikan berdasarkan keperluan semasa.
"Cabaran utama adalah tekanan geopolitik yang tidak menentu. Walaupun begitu, Jemaah Menteri sentiasa mendengar pandangan penjawat awam, menerima teguran serta kritikan, dan memberi komitmen penuh dalam menjalankan tugas mereka.
"Tidak semua sempurna, tetapi setakat ini pencapaian keseluruhan adalah membanggakan," katanya dalam sidang media Pasca Pemukiman Kerajaan MADANI 2025, di sini.
Program Pemukiman Kerajaan MADANI 2025 yang berlangsung bermula semalam bertujuan memastikan kesinambungan perancangan kerajaan dapat dilaksanakan dengan lancar, sekaligus merangka hala tuju negara dengan penuh berhemah dan kebijaksanaan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri optimis bahawa Kepengerusian ASEAN 2025 mampu lonjakkan keupayaan negara sebagai destinasi pelaburan, perdagangan dan pelancongan terkemuka khususnya menerusi pameran dan persidangan antarabangsa yang bakal di anjur bermula Mei.
Jelas Anwar, siri persidangan dan pameran yang dianjur bersama negara Majlis Kerjasama Teluk dan China itu dijangka mampu menarik perhatian pelabur global.
"Setiap sidang ini ada sama ada pameran, persidangan besar-besaran yang dianjurkan bukan sahaja oleh kerajaan tapi dengan kerjasama syarikat media, syarikat dagang dan negara Arab.
"Dan ini akan menjadikan Malaysia sepanjang tahun ini insya-Allah mulai bulan Mei sebagai negara yang menjadi tarikan kepada media dan juga kepada syarikat-syarikat besar dunia", katanya.
Anwar turut berpuas hati dengan komitmen yang diberikan semua pihak bagi memastikan perjalanan Kepengerusian ASEAN berjalan lancar sekaligus mempertingkat urusan dagang.