fb fb fb fb fb

Mercu tanda baharu harus beri manfaat kepada rakyat - PM

Anwar Ibrahim/RTM

PUTRAJAYA, 23 Februari- Pembangunan mercu tanda baharu di negara ini harus memberikan manfaat kepada rakyat, bukan sekadar menjadi simbol semata-mata, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, projek pembangunan seharusnya memberi nilai tambah kepada masyarakat termasuk melalui penganjuran aktiviti yang melibatkan golongan memerlukan.

"Negara boleh maju, mercu tanda dan pasar raya boleh dinaik taraf. Tetapi mesti sentiasa ingat, ia mesti beri manfaat kepada seramai mungkin," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Alamanda Berwajah Baharu di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata Malaysia terus menarik perhatian dunia sebagai destinasi utama bagi lawatan pemimpin global.

Katanya, pertumbuhan pesat dalam aspek teknologi, kestabilan ekonomi serta keupayaan rakyat menjadi faktor utama kehadiran pemimpin antarabangsa ke negara ini.

"Kita lihat pertumbuhan yang baik, pelaburan yang tinggi, Malaysia menjadi pusat kecerdasan buatan (AI), hab pusat data dan semikonduktor. Lawatan pemimpin dunia tidak henti-henti, sehingga kita terpaksa mengubah jadual program.

"Dalam sebulan dua ini, ramai pemimpin besar akan datang termasuk Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Afrika Selatan (Cyril Ramaphosa). Ini kerana dunia mula mengiktiraf keupayaan Malaysia, bukan hanya kerajaan, tetapi seluruh rakyat dan tenaga kerja negara," katanya.

SITI AISHAH MD ISA