fb fb fb fb fb

Keselamatan kanak-kanak: Larangan ‘gummy’ langkah tepat

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 22 Februari – Larangan penjualan gula-gula kenyal atau ‘gummy’ merupakan langkah tepat bagi melindungi kesihatan kanak-kanak serta mengurangkan risiko tercekik akibat produk makanan yang tidak sesuai untuk golongan tersebut.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Selangor yang juga Pensyarah Kanan Pemakanan, Fakulti Sains Kesihatan UiTM, Profesor Madya Dr. Norazmir Md Nor menjelaskan tekstur gula-gula ‘gummy’ yang kenyal dan melekit meningkatkan risiko tercekik sekiranya tidak dikunyah dengan sempurna.

Beliau turut menegaskan kepentingan label yang jelas pada produk makanan bagi memberi maklumat lengkap mengenai bahan kandungan serta potensi risiko kepada kanak-kanak.

“Langkah pengharaman penjualan ‘gummy’ oleh Kementerian Kesihatan Malaysia adalah tindakan bijak dan tepat pada masanya. Ini dapat mengurangkan risiko tercekik serta insiden maut seperti yang berlaku baru-baru ini.

"Peniaga juga perlu bertanggungjawab dalam memilih produk yang lebih selamat untuk dijual. Label pemakanan yang jelas mengenai amaran risiko kepada kanak-kanak serta pendidikan pemakanan adalah penting bagi penjual, ibu bapa, dan orang awam,” katanya ketika dihubungi RTM.

Dalam aspek kesihatan, Dr. Norazmir menambah kandungan gula yang tinggi dan hampir tiada nilai nutrisi dalam gula-gula ‘gummy’ boleh menyebabkan obesiti, kerosakan gigi, serta masalah kesihatan jangka panjang.

Sehubungan itu, beliau menggesa pendidikan pemakanan dipertingkatkan kepada ibu bapa, peniaga, dan pihak sekolah bagi meningkatkan kesedaran mengenai pemilihan makanan yang lebih selamat dan berkhasiat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN