
SAUDARA PENGARANG
- Ledakan AI melahirkan ilusi kepakaran; ramai nampak pakar tetapi tidak memahami logik, keselamatan dan risiko sistem.
- Ketergantungan AI dalam pendidikan menghasilkan graduan yang cekap hantar tugasan tetapi lemah dalam pemikiran kritikal dan pemahaman mendalam.
- AI alat bantu bukan pengganti ilmu; kepakaran sebenar memerlukan disiplin, pengalaman, asas kukuh dan proses pembelajaran lama.
Keghairahan terhadap kecerdasan buatan (AI) hari ini semakin menyerupai satu perlumbaan panik. Siapa yang tidak bercakap tentang AI dianggap ketinggalan zaman atau kolot. Siapa yang tidak menggunakannya dilihat lambat.
Siapa yang belum sempat menumpang gelombang ini pula mula terasa seolah-olah masa depan akan meninggalkan mereka. Dalam suasana inilah, fear of missing out (FOMO) terhadap AI tumbuh bukan lagi sebagai minat terhadap teknologi, tetapi sebagai kegelisahan sosial untuk segera kelihatan relevan.
Tidak dinafikan, AI membawa manfaat besar. Ia mempercepatkan penghasilan kerja, menjimatkan masa dan membuka akses kepada banyak perkara yang sebelum ini memerlukan kemahiran tertentu. Namun di sebalik semua keterujaan itu, ada satu persoalan yang lebih penting dan mungkin tidak selesa untuk ditanya.
Adakah ledakan AI ini benar-benar melahirkan lebih ramai pakar bidang, atau sekadar melahirkan lebih ramai “pakar segera” yang bersandar kepada mesin untuk tampak bijak?
Sebagai contoh, hari ini ramai yang bukan daripada latar belakang pembangunan sistem tiba-tiba mampu tampil seperti pakar IT. Dengan bantuan AI, kod boleh dijana, ralat boleh dibaiki dan aplikasi boleh dibina dalam masa singkat.
Tetapi mampu menyalin hasil yang dijana AI tidak sama dengan memahami logik sistem, keselamatan data, risiko aplikasi dan kesan sebenar apabila sesuatu sistem digunakan.
Tidak dinafikan teknologi memang boleh membantu membina produk, tetapi ia tidak secara automatik membina kefahaman. Di sinilah boleh melahirkan istilah ilusi kepakaran dan melahirkan individu yang berhalusinasi dengan kepakaran palsu.
Fenomena yang sama turut berlaku dalam bidang seni. Orang yang tidak pernah benar-benar bergelut dengan proses kreatif kini boleh menghasilkan lagu dan lirik dalam masa beberapa minit. Kedengarannya hebat. Namun seni bukan sekadar produk yang siap dipamerkan. Seni lahir daripada rasa, pengalaman, luka, renungan dan kejujuran jiwa.
Apabila semuanya terlalu mudah diserahkan kepada AI, kita bukan sekadar memudahkan penciptaan karya, tetapi berisiko menghakiskan roh karya itu sendiri. Tidak hairan jika semakin ramai merasakan banyak karya hari ini cantik di permukaan, tetapi “tiada jiwa” dan kosong di dalamnya.
Dalam ruang wacana pula, kita semakin melihat kemunculan “think tanker segera”. Dengan AI, kupasan isu, analisis dasar dan pandangan strategik boleh dihasilkan dengan cepat dan kelihatan meyakinkan.
Tetapi pemikir sebenar tidak lahir daripada ayat yang canggih semata-mata. Pemikir dibentuk melalui pembacaan yang panjang, disiplin memahami konteks, keberanian menilai sudut pandang yang bercanggah dan kejujuran untuk bergelut dengan kerumitan realiti.
Tanpa proses itu, AI hanya membantu seseorang meminjam gaya seorang pemikir, bukan menjadi pemikir yang sebenar.
Namun yang paling membimbangkan ialah kesannya terhadap pendidikan tinggi. Universiti sepatutnya menjadi tempat membina akal, bukan sekadar kilang untuk mengutip sijil.
Jika kehidupan kampus mahasiswa hari ini terlalu bergantung kepada “otak AI” untuk menyiapkan tugasan, menulis laporan, membina pembentangan dan merumus jawapan, maka kita sedang bergerak ke arah melahirkan graduan yang lulus di atas kertas, tetapi gagal dari sudut pembinaan intelektual.
Mereka mungkin mampu menghantar tugasan tepat pada masa, tetapi belum tentu mampu berfikir sendiri apabila berhadapan dengan realiti sebenar.
Seorang graduan bukan hanya dinilai pada keupayaan memberi jawapan, tetapi pada keupayaan mencari jawapan melalui proses membaca, menilai, memahami dan berfikir.
Jika semua itu dipendekkan oleh kebergantungan melampau kepada AI, maka kita mungkin akan melahirkan generasi yang kelihatan pintar, tetapi sebenarnya rapuh. Petah bercakap, tetapi cetek hujah. Cepat menulis, tetapi miskin kefahaman. Hebat di skrin, tetapi lemah di lapangan.
Bagaimanapun, AI bukanlah musuh. Yang menjadi masalah ialah manusia yang terlalu ghairah untuk segera kelihatan hebat tanpa sanggup melalui proses panjang untuk menjadi benar-benar hebat dalam bidang tertentu.
Dalam era ini, kemampuan menggunakan AI tidak boleh terus disamakan dengan penguasaan ilmu. Mengetahui cara memberi arahan kepada mesin bukanlah ukuran mutlak kepakaran. Seorang pakar tetap memerlukan disiplin yang tinggi, pengalaman yang luas, asas ilmu yang kukuh, ketekunan, serta proses yang berliku sebelum mampu diangkat sebagai rujukan.
Akhirnya, FOMO terhadap AI perlu ditangani dengan kewarasan. Mengikuti perkembangan teknologi itu penting, tetapi lebih penting ialah memastikan manusia tidak kehilangan maruah ilmunya sendiri.
Jika tidak, kita bukan sahaja akan dibanjiri orang yang bercakap seperti pakar, menulis seperti pakar dan berlagak seperti pakar, tetapi juga satu generasi “tin kosong digital” yang hanya meminjam kebijaksanaan daripada mesin.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Ts. Abdul Mueiz Rosli
Pegawai Kanan
Teknologi Maklumat
Pusat ICT, Universiti Pendidikan Sultan Idris