Evolusi lagu raya semarakkan semangat Aidilfitri

Lagu ‘Menjelang Hari Raya’ dendangan DJ Dave, rakaman awal 1970-an, merupakan salah satu lagu raya popular dan menjadi lagu wajib setiap kali sambutan Aidilfitri/Foto fail

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Lagu raya klasik penuh nostalgia: lirik puitis tentang kekeluargaan, rindu kampung, komposisi sederhana beremosi, melodi mudah diingati merentasi generasi.
  • Lagu raya moden menggunakan rentak pop, hip hop dan tarian; lirik lebih santai dan hiburan, sesuai citarasa generasi muda dan suasana bandar.
  • Kedua bentuk saling melengkapi; keseimbangan antara tradisi dan inovasi penting agar warisan lagu raya terus hidup dan menyemarakkan Aidilfitri.

Setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, lagu raya menjadi elemen penting yang mewarnai suasana perayaan dalam masyarakat Melayu.

Lagu-lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi turut berfungsi sebagai medium yang menyampaikan nilai budaya, emosi kekeluargaan dan semangat kebersamaan.

Namun, jika diperhatikan secara kritis, terdapat perbezaan yang ketara antara lagu raya zaman dahulu dengan lagu raya masa kini, khususnya dari aspek lirik dan komposisi muzik.

Lagu raya klasik yang popular sekitar tahun 1950-an hingga 1990-an lazimnya menampilkan unsur nostalgia yang kuat. Lagu seperti Dendang Perantau, Selamat Hari Raya, dan Suasana Hari Raya sering menjadi pilihan utama apabila tiba musim perayaan.

Lagu-lagu ini biasanya menekankan tema kekeluargaan, kerinduan kepada kampung halaman, serta makna Aidilfitri sebagai ruang untuk memohon maaf dan mempererat hubungan sesama insan.

Liriknya puitis, sarat dengan nilai kemanusiaan dan sering menggambarkan pengalaman kolektif masyarakat Melayu seperti perjalanan pulang ke kampung, pertemuan dengan keluarga dan kemeriahan suasana rumah terbuka.

Selain itu, daripada sudut komposisi muzik, lagu raya lama cenderung menggunakan susunan muzik yang lebih sederhana tetapi beremosi.

Instrumen seperti biola, akordion dan orkestra kecil sering digunakan bagi mewujudkan suasana yang lembut dan sentimental.

Melodi yang mudah diingati turut menjadikan lagu-lagu ini bertahan merentas generasi.

Tidak menghairankan jika sebahagian besar lagu raya klasik masih dimainkan di radio dan televisyen sehingga hari ini.

Sebaliknya, lagu raya moden memperlihatkan pendekatan yang lebih kontemporari dan dipengaruhi oleh perkembangan industri muzik semasa.

Lagu seperti Raya Nak Ke Mana dan Alamak Raya Lagi menunjukkan perubahan yang jelas dari segi gaya muzik dan penyampaian lirik. Rentak pop moden, hip-hop dan tarian sering digunakan bagi menyesuaikan lagu dengan selera generasi muda.

Daripada aspek lirik pula, lagu raya masa kini cenderung lebih santai dan ringan.

Fokusnya tidak lagi hanya pada tema kerinduan atau keinsafan, tetapi juga menampilkan elemen hiburan, gaya hidup dan suasana perayaan yang lebih moden.

Sesetengah lagu menekankan kegembiraan berkumpul bersama rakan-rakan, aktiviti beraya di bandar, atau pengalaman perayaan dalam konteks masyarakat kota.

Bagaimanapun, perubahan ini tidak semestinya menunjukkan kemerosotan nilai lagu raya.

Sebaliknya, mencerminkan transformasi budaya yang berlaku dalam masyarakat.

Lagu raya klasik kekal relevan kerana kekuatan emosi dan nilai tradisinya, manakala lagu raya moden pula berperanan memperkenalkan pendekatan baharu yang lebih segar dan sesuai dengan perkembangan industri muzik semasa.

Hakikatnya, kedua-dua bentuk lagu ini mempunyai fungsi yang berbeza tetapi saling melengkapi.

Lagu raya lama menjadi arkib emosi dan identiti budaya masyarakat Melayu, manakala lagu raya baharu pula mencerminkan dinamika generasi semasa.

Justeru, keseimbangan antara elemen tradisi dan inovasi amat penting agar warisan lagu raya terus hidup, sambil berkembang selari dengan perubahan zaman.

Melalui melodi klasik yang penuh nostalgia atau rentak moden yang lebih kontemporari, lagu raya tetap memainkan peranan penting dalam menyemarakkan semangat Aidilfitri serta menghubungkan generasi lama dan baharu dalam satu pengalaman budaya yang sama.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Norfaizal Jamain
Pensyarah Bahasa
Fakulti Bahasa dan Linguistik
Universiti Malaya
e-mel:nfaiz@um.edu.my