
SAUDARA PENGARANG
- Jantina ditentukan secara biologi dalam rahim melalui kromosom XX atau XY dan gen SRY, bukan keputusan rawak.
- Terapi pengesahan dan ubat penghalang baligh mempunyai bukti jangka panjang terhad dan membawa risiko kesihatan serius termasuk tulang rapuh dan kemandulan.
- Profesion perubatan adalah amanah berlandaskan Tawhid; doktor mesti berpandukan sains dan nilai agama dalam membuat keputusan klinikal.
- Pendekatan etika dan empati mengutamakan rawatan jiwa dan psikologi sebelum mempertimbangkan pembedahan atau hormon yang mengubah fitrah.
Kebelakangan ini, masyarakat sering disajikan dengan pelbagai kempen di media sosial yang mendakwa bahawa jantina seseorang hanyalah satu “perasaan” atau “konstruk sosial” yang boleh berubah mengikut kehendak individu.
Naratif sebegini sering disertai slogan bahawa jantina kononnya “ditetapkan sewaktu lahir” (assigned at birth), satu istilah yang kedengaran puitis atas nama kebebasan diri, namun sebenarnya sangat bercanggah apabila helaian buku sains anatomi diselak dan falsafah penciptaan manusia ditelusuri.
Persoalan besar yang perlu dihadapi ialah adakah tubuh badan manusia ini ibarat sebuah mesin yang alat gantinya boleh ditukar ganti sesuka hati, dan adakah bakal doktor di universiti dilatih untuk sekadar mengeyakan kehendak pesakit tanpa memikirkan mudarat kesihatan jangka Panjang.
Dari sudut sains biologi yang paling asas, jantina manusia tidak ditetapkan secara rawak oleh doktor sewaktu kelahiran, sebaliknya ia telah pun terbentuk dengan sempurna di dalam rahim ibu lagi. Secara biologi, manusia ditentukan oleh kromosom iaitu struktur halus di dalam sel yang membawa kod genetik atau “pelan induk” tubuh kita.
Manusia dilahirkan dengan kromosom XX bagi perempuan dan XY bagi lelaki. Pada kromosom Y milik lelaki, terdapat satu genetik penentu yang dipanggil gen SRY (Sex-determining Region Y) yang bertindak ibarat “suis utama” kehidupan.
Jika suis ini ada dan dihidupkan sejak dalam rahim, tubuh janin akan secara automatik memproses hormon dan membentuk anatomi seorang lelaki, manakala ketiadaan suis ini akan membentuk anatomi perempuan.
Ia adalah reka bentuk asal yang sangat terperinci dan mutlak. Sebarang cubaan untuk memanipulasi fitrah penciptaan ini secara biologi pasti akan mengganggu sistem fisiologi tubuh yang sedia harmoni.
Kini, wujud rawatan dari Barat yang dikenali sebagai “terapi pengesahan” (affirmative therapy) di mana remaja yang keliru dengan identiti mereka diberikan ubat penghalang baligh untuk menekan proses tumbesaran biologi yang semula jadi.
Jika diibaratkan seperti sebatang pokok yang sedang rancak membesar kemudian disekat keperluan asalnya, begitulah gangguan yang dialami oleh fisiologi manusia.
Kebimbangan mengenai kesan jangka panjang rawatan ini bukan sekadar teori; buktinya, laporan bebas yang sangat berpengaruh seperti Cass Review di United Kingdom (2024) telah membawa kepada sekatan penggunaan ubat penghalang baligh untuk kanak-kanak dan remaja kerana kekurangan bukti saintifik yang kuat mengenai manfaat jangka panjangnya.
Kajian klinikal antarabangsa secara jelas merekodkan bahawa ubat penghalang baligh dan hormon silang jantina membawa risiko kesihatan yang besar, antaranya termasuklah penurunan ketumpatan mineral tulang yang menyebabkan tulang rapuh, perubahan tekanan darah, gangguan fungsi metabolisme, serta risiko kemandulan kekal.
Sistem badan manusia mempunyai keseimbangan yang sangat harmoni atau homeostasis. Apabila sistem yang sihat ini dipaksa menerima hormon luaran secara agresif, ia bukanlah satu rawatan perubatan yang memulihkan, tetapi satu bentuk pencerobohan fisiologi yang merosakkan jasad.
Fakta sains yang nyata ini membawa kepada satu persoalan penting dalam mendidik doktor generasi masa depan tentang bagaimana menangani pesakit yang mengalami kecelaruan identiti. Di sinilah Epistemologi Tawhid atau Kesatuan Ilmu memainkan peranan yang sangat kritikal di universiti.
Dalam acuan perubatan sekular, tubuh badan sering dianggap sebagai hak milik mutlak pesakit dan tugas doktor hanyalah sebagai penyedia perkhidmatan yang memuaskan kehendak pelanggan. Namun, falsafah perubatan berteraskan Tawhid menolak pemisahan antara sains fizikal dan nilai agama melalui prinsip Wahdatul ‘Ilm.
Dalam kerangka ini, profesion perubatan itu sendiri dilihat sebagai satu amanah, di mana anatomi tubuh manusia adalah ciptaan yang perlu dipelihara selari dengan matlamat memelihara nyawa, akal, dan keturunan.
Ini bermakna, apabila seorang pesakit datang dengan konflik kecelaruan jantina (gender dysphoria), tugas seorang doktor bukanlah sekadar menawarkan pembedahan atau ubat hormon untuk mengubah organ yang sedia sihat.
Sebaliknya, doktor berfungsi sebagai pengamal perubatan yang beretika, menggunakan pendekatan empati dan kasih sayang untuk merawat punca isu yang berakar di peringkat jiwa dan psikologi.
Doktor yang dilengkapkan dengan pemikiran Tawhid akan membimbing pesakit mencari “jalan pulang” ke arah fitrah penciptaan sebenar. Ini kerana ramai individu yang terjebak dengan kecelaruan ini sebenarnya sedang bergelut mencari ketenangan jiwa dan makna hidup, bukannya memerlukan pisau pembedahan.
Kesimpulannya, menangani isu kecelaruan jantina bukanlah sekadar perdebatan tentang hak asasi di media sosial, tetapi merupakan amanah besar untuk melindungi kesihatan dan memelihara keseimbangan fungsi tubuh manusia.
Kulliyyah perubatan memikul tanggungjawab berat untuk melahirkan barisan doktor yang bukan sahaja cekap secara teknikal, tetapi juga berpegang teguh pada amanah Tuhan.
Kita memerlukan pengamal perubatan yang sedar bahawa melindungi manusia daripada manipulasi ideologi yang merosakkan jasad dan jiwa adalah kemuncak profesionalisme yang sebenar dalam dunia perubatan moden.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
e-mel: azrilshahreez@iium.edu.my

Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar
Presiden WAFIQ/Profesor Fisiologi
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia