fb fb fb fb fb

KPDN Pulau Pinang sita keropok guna logo halal tamat tempoh

Penguatkuasa KPDN Pulau Pinang memeriksa keropok pelbagai perisa yang menggunakan logo halal tamat tempoh ketika serbuan di sebuah rumah kedai di Bukit Mertajam/ Foto: KPDN Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM, 11 Julai- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyita keropok pelbagai perisa bernilai RM6,748 kerana menggunakan logo halal Malaysia tamat tempoh sah, di sini semalam.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S.Jegan berkata serbuan di sebuah premis rumah kedai dua tingkat yang dijadikan kilang itu dijalankan secara bersepadu bersama Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP).

"Serbuan itu melibatkan seramai empat anggota penguat kuasa KPDN negeri dan dua pegawai JHEAIPP.

"Hasil pemeriksaan mendapati kilang itu disyaki masih menggunakan logo halal Malaysia pada bungkusan makanan ringan keropok pelbagai perisa yang dijual syarikat itu walaupun sijil halal telah tamat tempoh sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Perenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011 iaitu semua makanan dan barang-barang tidak boleh diperihalkan sebagai halal atau diperihalkan dengan cara lain untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam melainkan jika diperakukan sebagai halal oleh pihak berkuasa berwibawa.

“Sekiranya disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000,” katanya.

Jegan berkata, KPDN negeri memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menggunakan Logo Halal Malaysia tanpa diperakui oleh pihak berkuasa berwibawa sama ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

ZEHRA BINTI ZAMBRI