fb fb fb fb fb

KPDN panggil 10 syarikat umum kenaikan harga bawah AKHAP 2011

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 14 Jun- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengeluarkan Notis Bertulis (NB) memanggil 10 syarikat yang telah mengumumkan untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan pasca penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali menerusi kenyataan berkata notis tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Beliau berkata 10 syarikat berkenaan terdiri daripada sektor pengangkutan (3 syarikat), sektor bahan binaan (3 syarikat), sektor makanan dan minuman (2 syarikat) serta sektor sewaan jentera (2 syarikat).

Manakala, dua syarikat telah dipanggil semalam dan selebihnya akan menyusul mengikut jadual.

"Syarikat yang telah dikenal pasti ini akan diminta untuk memberikan penjelasan berkaitan kewajaran tindakan syarikat terbabit untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan.

"Melalui siasatan awal, empat syarikat terlibat telah diluluskan permohonan fleet card, tetapi telah mengeluarkan notis bagi kenaikan barang dan perkhidmatan.

"Manakala, baki enam syarikat lagi mempunyai kenderaan yang tidak termasuk dalam senarai Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.

Katanya, setiap syarikat akan diminta untuk memberikan perincian maklumat termasuk dokumen-dokumen berkaitan penawaran perkhidmatan atau penjualan barangan bagi tujuan penyediaan analisis pencatutan.

"Kegagalan untuk menghadirkan diri juga boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 57 Akta 723 tersebut.

KPDN juga memberikan amaran kepada semua pihak agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dan perkhidmatan dengan elemen pencatutan susulan penyasaran subsidi diesel yang telah dilaksanakan Kerajaan.

"Mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga akan dikenakan tindakan yang tegas bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang dikuatkuasakan oleh kementerian terutamanya bawah Akta 723 dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.00 bagi perbadanan/syarikat, manakala sehingga RM100,000.00 bagi individu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali", katanya dalam kenyataan.

Ops Kesan 2.0 dilancarkan pada 8 Jun lalu bertujuan untuk memastikan semua penentuan atau peningkatan harga dan caj yang berlaku di peringkat sektor perkhidmatan yang diluluskan permohonan subsidi diesel di bawah SKDS 2.0 sama ada kenderaan yang layak atau yang tidak layak adalah mematuhi perundangan Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018 dan tidak mencatut di bawah perundangan AKHAP 2011.

ROSLINA BINTI DIN