
CYBERJAYA, 22 Oktober – Penjawat awam yang masih menggunakan aplikasi navigasi Waze bagi urusan rasmi boleh dikenakan tindakan disiplin, menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN).
- Arahan berkuat kuasa serta-merta; pelaksanaan diserahkan kepada budi bicara kementerian dan jabatan.
- Pelanggaran mana-mana arahan KSN akan membawa implikasi tindakan disiplin.
- Penjawat awam digesa menyahpasang aplikasi Waze daripada peranti masing-masing.
- Waze berpengkalan di Israel dan dianggap menimbulkan risiko keselamatan maklumat serta data pergerakan.
Ketua Pengarahnya Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata, arahan itu berkuat kuasa serta-merta, namun pelaksanaannya diserahkan kepada budi bicara kementerian serta jabatan masing-masing.
“Arahan ini terpakai serta-merta. Dari segi pelaksanaan arahan ini secara umumnya kita serahkanlah kepada budi bicara masing-masinglah.
“Tetapi apa pun, pelanggaran mana-mana arahan oleh Ketua Setiausahan Negara (KSN), akan membawa implikasi dari sudut tindakan disiplin,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Beliau turut menggesa penjawat awam menyahpasang aplikasi itu daripada peranti masing-masing.
Turut hadir Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin.
Dalam pada itu, Ketua NACSA, Ir. Dr. Megat Zuhairy berkata, pada 2019, seramai 6.3 juta rakyat Malaysia menggunakan Waze.
Angka itu sekali gus menjadikan Malaysia negara kelima tertinggi di dunia dan tertinggi di ASEAN dari segi penggunaan aplikasi itu.
RTM sebelum ini melaporkan kerajaan mengarahkan semua anggota perkhidmatan awam menghentikan penggunaan aplikasi navigasi Waze serta-merta berkuat kuasa 20 Oktober.
Waze Mobile Ltd yang berpengkalan di Israel serta menimbulkan risiko terhadap keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat kerana aplikasi itu terikat di bawah undang-undang Israel.