fb fb fb fb fb

Kos tunaikan haji 2026 diumum Rabu depan

Foto BERNAMA

MASJID TANAH, 18 Oktober- Kos rasmi menunaikan haji untuk tahun 2026 akan diumumkan Tabung Haji (TH), pada 22 Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, surat tawaran menunaikan haji pula akan diedarkan kepada bakal jemaah haji selepas pengumuman tersebut oleh Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

Beliau berkata, TH akan memastikan jumlah kos terbabit tidak akan membebankan bakal jemaah haji negara selain mengambil langkah proaktif memastikan jemaah haji yang mendapat giliran pada tahun ini tidak menolak tawaran tersebut.

Ini termasuk mengenal pasti keberadaan bakal jemaah tersebut dan mengemaskini data dengan lebih awal. Semua langkah itu bagi memastikan bakal jemaah bersedia sebaiknya dari aspek kewangan, fizikal dan mental sebelum menunaikan haji.

"Kadar kos ini sama ada meningkat atau kekal penting bagi membolehkan proses pengeluaran surat tawaran kepada bakal haji dilakukan dan kita akan pastikan ia tidak membebankan mereka yang terpilih itu nanti. Ini kerana kita mahu peratusan mereka yang menolak tawaran haji itu akan dapat dikurangkan kerana mereka yang ditawarkan giliran tetapi menolak pada 2025 agak ramai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Majlis Perasmian Program Kampung Angkat Menteri Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) di Dewan Terbuka Kampung Pulau, Masjid Tanah Melaka.

Dalam pada itu, Datuk Dr Mohd Na'im berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memperhebat kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mendidik anak-anak dalam konteks memperkukuh akidah mereka.

Selain memberi arahan kepada mereka yang diberikan tauliah untuk mengajar di masjid-masjid agar memberikan tumpuan terhadap isu jenayah seksual buli dan sebagainya.

SITI NOORAIN ABDULLAH