fb fb fb fb fb

Kluang daerah paling bahagia, Terengganu negeri paling bahagia

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 12 September - Kluang, Johor muncul sebagai daerah paling bahagia di Malaysia apabila merekodkan skor tertinggi 9.83 dalam Indeks Kebahagiaan Malaysia (MHI) 2024.

Daripada 156 daerah pentadbiran yang dinilai, sebanyak 36 daerah berada pada tahap sangat bahagia dengan skor antara 8.02 hingga 9.83. Antara sembilan daerah lain yang berada dalam kelompok teratas ialah Raub (9.52), Mersing (9.50), Marang (9.49), Lipis (9.15), Ranau (9.13), Setiu (9.06), Kuala Nerus (9.03), Kunak (8.97) dan Kemaman (8.79).

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan, mengikut pecahan negeri pula, Terengganu mendahului dengan skor 8.64, diikuti Johor (8.08) dan Negeri Sembilan (8.01) pada tahap sangat bahagia. Negeri lain berada pada tahap bahagia dengan skor antara 7.00 hingga 7.92

"Perbandingan kawasan pula menunjukkan penduduk bandar (7.61) sedikit lebih bahagia berbanding penduduk luar bandar (7.56).

"Wanita dilihat lebih bahagia berbanding lelaki dengan skor 7.62 berbanding 7.57. Lapan komponen lebih tinggi dicatatkan wanita, termasuk agama dan kerohanian (8.72) serta keluarga (8.66).

"Mengikut kumpulan umur, remaja 15 hingga 19 tahun paling bahagia dengan skor 7.79, manakala kumpulan umur 65 tahun ke atas mencatat skor terendah (7.54), namun masih pada tahap bahagia," menurut DOSM.

Secara keseluruhan, skor MHI 2024 berada pada tahap bahagia dengan catatan 7.60. Analisis komponen menunjukkan dua aspek berada pada tahap sangat bahagia, iaitu agama dan kerohanian (8.69) serta keluarga (8.64). Komponen terendah ialah budaya dengan skor 6.22.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE