
KUALA LUMPUR, 25 Mei – Kuala Lumpur bersedia muncul sebagai hab utama industri hiburan serantau menerusi komitmen kerajaan mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepat proses kelulusan acara bertaraf antarabangsa.
- Hannah minta DBKL permudah proses permohonan dan semak SOP untuk percepat kelulusan acara antarabangsa.
- Festival Air baru-baru ini menjana pulangan besar kepada ekonomi negara melalui perbelanjaan pelawat antarabangsa dan tempatan.
- Kerajaan menurunkan kadar deposit bagi memudahkan penganjuran konsert, persembahan pentas dan acara kebudayaan tempatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah diminta memudah cara proses permohonan tersebut bagi memastikan ibu negara terus menjadi pilihan pemain industri global.
“Kita tidak boleh hanya duduk dan menunggu perkara berlaku, sebaliknya kita perlu memudah cara dan menggerakkan proses tersebut.
“Saya akan memantau perkara ini bersama DBKL dan meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur meneliti prosedur operasi standard (SOP) serta proses terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran KL Headline Season 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut Hannah berkata, Festival Air yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini telah menjana sebanyak RM320 juta kepada ekonomi negara.
“Pulangan kepada ekonomi Malaysia datang daripada pelawat antarabangsa, kira-kira 100,000 orang bagi Festival Air membelanjakan sekitar RM255 juta hanya pada hujung minggu tersebut. Bagi pengunjung tempatan pula, 150,000 orang membelanjakan kira-kira RM64 juta,” katanya.
Tambah beliau, bagi terus mengurangkan halangan kepada penganjur, kerajaan turut menurunkan kadar deposit bagi memudahkan penganjuran acara persembahan tempatan, konsert serta persembahan pentas dan kebudayaan.