
KUALA LUMPUR, 25 Januari – Penganugerahan kewarganegaraan Malaysia kepada individu bukan warganegara merupakan anugerah tertinggi dan hak eksklusif Kerajaan Persekutuan yang tidak ditawarkan serta diberikan secara sewenang-wenangnya.
- Penganugerahan kewarganegaraan adalah hak eksklusif Kerajaan dan tidak diberikan secara sewenang-wenangnya.
- Permohonan diteliti mengikut Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964, serta kepentingan nasional.
- Keputusan dibuat oleh Panel Jawatankuasa Pertimbangan Kelulusan selepas penelitian menyeluruh dan semakan silang dengan JIM.
- Status MyPR boleh dibatalkan jika pemegang terlibat dalam kesalahan yang mengancam keselamatan atau kepentingan negara.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan sebaliknya penganugerahan kewarganegaraan diproses secara teliti berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan berkaitan.
Menurut kenyataan JPN, setiap permohonan kewarganegaraan yang diterima diteliti berdasarkan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan serta Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 dengan mengambil kira kepentingan nasional, keselamatan dan kesejahteraan warganegara sedia ada.
“Keputusan setiap permohonan adalah tertakluk kepada Panel Jawatankuasa Pertimbangan Kelulusan yang bersidang secara berkala, selain penelitian menyeluruh bagi memastikan kesahihan dan kelayakan pemohon sebelum sebarang keputusan dibuat,” menurut kenyataan itu pada Ahad.
Kenyataan itu merujuk kebimbangan dizahirkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu pemberian taraf Pemastautin Tetap (PR) kepada warga asing dan kewarganegaraan yang melibatkan kepentingan kedaulatan negara, keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Mengulas lanjut, status serta Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) boleh ditarik balik sekiranya pemegangnya didapati terlibat dalam sebarang kesalahan yang boleh mengancam keselamatan, ketenteraman awam atau kepentingan negara.
Katanya, pada masa ini kawalan prosedur utama bagi permohonan kad MyPR berpandukan kepada Permit Masuk sah yang diperoleh oleh pemohon daripada Jabatan Imigresen Malayisa (JIM).
“Semakan silang secara bersepadu antara JPN dan JIM dilaksanakan bagi mengesahkan bahawa Permit Masuk dikemukakan adalah tulen, sah dan dikeluarkan kepada individu yang benar-benar layak,” katanya.
Sehingga 31 Disember 2025, seramai 261,156 pemegang MyPR direkodkan di seluruh negara.
“KDN dan JPN akan sentiasa peka dan menjalankan proses sebaik-baiknya berkenaan perkara ini kerana setiap permohonan akan diteliti mengikut giliran sewajarnya sebelum keputusan dikeluarkan.
“Pertimbangan yang teliti perlu dilaksanakan bagi memastikan taraf kewarganegaraan Malaysia diberikan kepada individu yang benar-benar layak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan berkaitan tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kepentingan negara dan warganegara sedia ada,” katanya.