
IPOH, 11 Oktober – Kesiapsiagaan yang dilaksanakan dalam pengurusan bencana membantu mengurangkan kerugian harta benda termasuk aset awam dan infrastruktur.
- Koordinasi antara agensi dilaksanakan untuk mengurangkan risiko banjir dan melindungi aset awam serta infrastruktur.
- Kerajaan merancang dua Pusat Pemindahan Kekal Bencana setiap negeri, diutamakan bagi kawasan kerap dilanda banjir.
- Peruntukan tambahan disediakan untuk meningkatkan kelengkapan agensi penyelamat bagi operasi dan respons bencana yang lebih berkesan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada 2025 kerugian akibat bencana di negara direkodkan kira-kira RM636.9 juta, termasuk RM380.2 juta melibatkan aset awam dan infrastruktur.
“Koordinasi ini kita lakukan bagi mengurangkan risiko banjir, termasuk kehilangan dan kerosakan aset. Pada 2024, nilai kerugian akibat banjir dianggarkan sekitar RM900 juta, sebelum menurun kepada RM600 juta pada 2025,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini hari ini.
Bagi memperkukuh kesiapsiagaan itu, kerajaan turut merancang pembinaan dua Pusat Pemindahan Kekal Bencana di setiap negeri, dengan keutamaan kepada kawasan yang kerap dilanda banjir dan melibatkan ramai penduduk terkesan.
Penambahan pusat berkenaan akan dibuat mengikut keperluan serta kemampuan kewangan. Peruntukan tambahan pada 2027 akan digunakan untuk meningkatkan kelengkapan agensi penyelamat bagi operasi bencana.